Penganjuran tiada masalah jika tak gugat awam: Azmin

Berita Harian - - ISU -

Shah Alam: Penganjuran Oktoberfest dilihat tidak mengundang masalah selagi tidak mengganggu ketenteraman awam, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, ketika penganjuran di Selangor sebelum ini, kerajaan negeri memberi kelulusan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenakan beberapa syarat ke atas penganjur.

Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, ketika pentadbirannya dahulu, acara itu pernah dianjurkan dan beliau tidak nampak sebarang permasalahan terhadap penganjurannya.

“Penganjur diberi syarat oleh PBT. Pertama, dari segi keselamatan dan kawasan yang dibuat mesti tertutup, yang boleh menjamin keselamatan penduduk kawasan sekitar.

“Kedua, penguat kuasa ditempatkan di situ bagi memastikan tiada orang Islam yang terbabit dalam penganjuran dan penyertaan Oktoberfest,” katanya.

Minta orang ramai tak terjebak polemik

Beliau menjawab soalan peserta pada Program Bicara Minda Bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertajuk ‘Ekonomi: Kesejahteraan Untuk Semua’ di Dewan Karangkraf di sini, semalam.

Beliau turut meminta orang ramai tidak terjebak dan terheret dengan polemik berhubung penganjuran pesta itu.

“Saya ada pengalaman bagaimana kita menguruskan Oktoberfest ketika saya di Selangor. Ada kelompok kecil mempertikaikan kenapa kerajaan negeri beri kelulusan.

Gambaran diberikan seolaholah ini pesta arak. Tidak benar sama sekali.

Acara tahunan bukan Islam

“Oktoberfast adalah acara tahunan yang disambut oleh kumpulan bukan Islam. Kita tak benarkan orang Islam untuk menyertai Oktoberfest,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, acara itu bukan saja dianjurkan di Selangor, malah di Johor dan beberapa negeri lain dan semuanya teratur serta aman.

“Ini dasar kerajaan yang mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi dalam masa yang sama kita tidak boleh menghalang amalan budaya kaum dan agama yang lain selagi ia dibuat dalam keadaan terkawal dan menjamin keselamatan,” katanya.

Keratan akhbar BH semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.