Usah kompromi peniaga makanan pengotor

Berita Harian - - MUKA SEPULUH -

Sudah banyak kali teguran dibuat mengenai sikap peniaga makanan dan minuman di negara ini dalam menjaga soal kebersihan. Mereka memandang remeh dalam aspek penyediaan makanan dan persekitaran sehingga hampir saban hari media melaporkan berlaku kes keracunan makanan di kantin sekolah, asrama, kafeteria, gerai dan restoran. Kejadian terbaru keracunan makanan membabitkan sebuah gerai menjual laksa di Baling, Kedah yang sejak minggu lalu, sudah merekodkan 80 mangsa dengan dua kematian. Menurut Kementerian Kesihatan daripada 80 kes itu, 31 kes, termasuk dua yang maut membabitkan mangsa dari Perak, 25 kes di Kedah dan 24 kes lagi dari Selangor dengan sembilan mangsa masih menerima rawat di hospital. Sebelum ini pun, kita dikejutkan bagaimana sebuah premis makanan daun pisang di ibu negara menyediakan makanan tidak bersih apabila pekerjanya mencuci pinggan menggunakan air lopak di tepi jalan. Ketika pihak berkuasa masih menunggu hasil ujian sampel mi laksa, kuah dan campuran salad dalam laksa dan punca sebenar kejadian keracunan laksa di Kedah, kita sebagai pengguna perlu lebih berhatihati dalam memilih makanan yang terjamin kebersihannya dan berkhasiat. Kementerian dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terbabit secara langsung dengan premis makanan juga seharusnya lebih proaktif memantau premis kotor. Pemeriksaan harian harus dipertingkatkan dan bukan sekadar menjalankan operasi berkala atau pemeriksaan rambang sahaja. Janganlah apabila berlaku kes keracunan makanan atau wabak penyakit sehingga meragut nyawa, barulah kita mengambil tindakan tegas kerana semuanya sudah terlambat. Tiga undang-undang utama yang menjadi rujukan penyediaan makanan di negara ini iaitu, Akta Makanan 1983, Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan Peraturanperaturan Kebersihan Makanan 2009, juga harus diperkasakan. Walaupun ada undang-undang lengkap, hukuman yang boleh dikenakan kepada peniaga makanan tercemar disifatkan tidak terlalu berat jika dibandingkan dengan kesan buruk kepada pengguna. Hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika menjual makanan yang berbahaya kepada pengguna yang terdapat dalam akta juga wajar dikaji semula. Malah, pada peringkat PBT, tindakan sita atau kompaun terhadap premis makanan kotor disifatkan tidak memadai kerana peniaga terus menjalankan operasi tanpa rasa bersalah. Kita seharusnya tidak lagi berkompromi dan peniaga ingkar seperti ini. Sebagai pengguna pula, gunakan hak kita untuk ‘menghukum’ peniaga makanan kotor, termasuk tindakan memboikot. Banyak kajian sains kesihatan membuktikan penyakit datang daripada makanan tercemar dan kotor sehingga menjejaskan kesihatan awam. Imej negara juga akan tercalar di mata pelancong kerana antara faktor pengunjung memilih untuk melawat sesebuah negara adalah kerana tarikan makanannya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.