Nasihat polis pastikan pembuangan undi lancar

Berita Harian - - PILIHAN RAYA KECIL -

Port Dickson: Seramai 800 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia menghadapi hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata kekuatan anggota itu turut membabitkan bantuan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan daerah berhampiran.

Beliau berkata, pihaknya sudah bersiap siaga dari segi logistik, keselamatan dan lalu lintas.

Katanya, kawalan keselamatan akan diperketat di tiga kawasan panas iaitu Bukit Pelanduk, pekan Lukut dan Linggi.

“Kerjasama semua pihak terutama calon dan wakil amat diperlukan bagi mengawal selia penyokong masing-masing agar tidak melakukan sebarang bentuk provokasi kepada pihak lawan dan menjaga sensitiviti semua pihak.

“Penyokong parti bertanding dan orang ramai dinasihatkan mematuhi peraturan ditetapkan demi menjaga keharmonian dan keamanan di semua pusat mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini, semalam.

Larangan penggunaan dron

Aidi Sham berkata, penggunaan dron turut dilarang sepanjang hari pengundian dan polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu yang didapati menggunakan atau menerbangkan peralatan itu.

Katanya, polis juga akan menunda kenderaan yang menghalang lalu lintas terutama di kawasan pusat mengundi.

“Sikap tidak bertanggungjawab ini boleh menjadi antara faktor kesesakan. Orang ramai dinasihatkan meletak kenderaan di tempat disediakan atau lokasi diarahkan polis dan petugas SPR,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 48 laporan polis dan 141 permohonan permit diterima dari 29 September sehingga semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.