SPR tempatkan 1,403 petugas di 32 pusat

Berita Harian - - PILIHAN RAYA KECIL -

Port Dickson: Seramai 68,317 pengundi dijangka menunaikan kewajipan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, hari ini.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood, berkata 1,403 petugas akan ditempatkan di 154 saluran di 32 pusat mengundi di daerah ini.

“Kita berharap pengundi keluar awal pagi walaupun waktu mengundi dilanjutkan dari jam 8 pagi sehingga 5.30 petang kerana keadaan cuaca yang diramal hujan pada waktu petang.

“Pengundi diharap dapat membuat semakan maklumat daftar pemilih lebih awal melalui portal www.spr.gov.my, aplikasi MYSPR Semak, talian 0388927018 atau SMS ke 15888," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Terdahulu, beliau meluangkan masa hampir dua jam meninjau persiapan PRK berkenaan di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson di sini.

Othman turut mengingatkan penyokong parti politik yang bertanding supaya tidak melakukan provokasi bagi memastikan proses pengundian berjalan secara aman tanpa insiden tidak diingini

“Tiada pihak boleh merayu undi termasuk di luar pusat mengundi dan melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya.

“SPR menjangkakan 70 peratus pengundi akan keluar manakala keputusan penjumlahan undi akan diumumkan sebelum jam 10 malam esok (ini) di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson,” katanya.

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) optimis jumlah peratusan keluar pengundi hari ini mencatat kadar memberangsangkan, berdasarkan sentimen dan gerak kerja dilakukan sepanjang tempoh berkempen.

Ambil pelbagai inisiatif

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata PH mengambil pelbagai inisiatif untuk memastikan orang ramai keluar mengundi, termasuk berkempen supaya pengundi luar pulang menunaikan tanggungjawab.

“Sebelum ini SPR menjangkakan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi.

“Kita optimis dengan jumlah berkenaan. Saya berasa orang ramai teruja dengan sentimen kehadiran Perdana Menteri dari Parlimen Port Dickson.

“Sudah tentu kita jangka calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang, namun persoalannya adalah dari segi jumlah peratusan keluar mengundi,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di sini, semalam.

Othman beramah mesra dengan petugas SPR selepas taklimat khas di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.