Amino fail rayuan tangguh hukuman penjara

Berita Harian - - ISU -

Kuala Lumpur: Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Rantau, Amino Agos Suyub, sudah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan, di sini, berhubung hukuman penjara tiga bulan yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan menghina mahkamah.

Mahkamah Pilihan Raya Seremban, Rabu lalu, menjatuhkan hukuman itu terhadap Amino selepas beliau didapati bersalah cuba ‘mengajar’ seorang saksi dalam kes petisyen pilihan raya yang dikemukakan oleh calon Pakatan Harapan, Dr S Streram.

Amino juga memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga selesai rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Selain itu, beliau memfailkan notis perakuan segera bagi mahkamah mendengar rayuannya secepat mungkin.

Amino memfailkan notis rayuan dan permohonan itu melalui firma guaman Messrs Shearn & Delamore, semalam.

Melalui afidavit sokongan yang dikemukakan, Amino mendakwa tidak diberi peluang munasabah membuat persediaan lengkap untuk membentangkan pembelaannya.

“Saya dipaksa menjawab tunjuk sebab tanpa diberi salinan tuduhan yang lengkap terhadap saya. Hukuman penjara dijatuhkan juga ada kesan dan akibat yang memprejudiskan saya.

“Ya Ariff gagal mengambil kira penerangan bahawa tujuan mesej adalah berkenaan laporan berita FMT (Free Malaysia Today) di mana saya disalahlaporkan dan tidak berniat memberi sebarangan arahan atau bimbingan kepada Daing. Saya tidak berniat mengganggu keadilan mahkamah,” katanya.

Amino juga mendakwa, mahkamah gagal mengambil kira permohonan maaf awalnya kerana menghantar mesej kepada Penolong Pegawai Pengurus SPR, Daing Muhamad Rahimi (Daing).

Rabu lalu, Hakim Mahkamah Pilihan Raya Seremban, Datuk Azimah Omar, menjatuhkan hukuman itu terhadap Amino selepas dia didapati bersalah menghantar mesej teks kepada Daing dengan cuba mengajarnya menjawab soalan.

Amino dan Daing, yang juga Penolong Pegawai Daerah Rembau, memberi keterangan dalam petisyen pilihan raya Dr Streram.

Dr Streram mencabar keputusan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan, yang diisytihar sebagai pemenang.

Dr Streram mendakwa beliau dihalang mengemukakan borang pencalonannya di pusat penamaan calon pada 28 April lalu.

Amino Agos Suyub

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.