Motosikal rekaan anak tempatan diiktiraf dunia

Berita Harian - - KEUSAHAWANAN -

Kuala Terengganu: Seorang rakyat Malaysia, Omar @ Maharani Jumiran, menduduki tempat kedua dalam pertandingan mereka motosikal buatan khas ‘AMD World Championship of Custom Bike Building’ di Jerman.

Pertandingan itu diadakan pada 3 hingga 7 Oktober lalu.

“Pengiktirafan itu memberi saya motivasi mencipta motosikal buatan khas yang lebih hebat selepas ini,” katanya ketika dihubungi.

Omar, 48, berkata, biarpun berada di tempat kedua, ciptaan motosikal buatan khas yang dinamakan ‘Bone X’ itu berjaya meraih perhatian dan membuka mata seluruh dunia mengenai kemampuannya dalam industri itu.

“Memang menjadi impian saya sejak terbabit dalam bidang itu untuk bertanding pada pertandingan membina motosikal custom peringkat tertinggi di dunia itu.

“Usaha saya tercapai apabila memenangi pertandingan motosikal buatan khas di dalam negara dengan mengalahkan tujuh lagi peserta lain pada 2017.

Wakil negara

“Kemenangan itu secara tidak langsung melayakkan saya mewakili negara ke Pertandingan AMD World Championship of Custom Bike Building,” katanya yang berasal dari Kampung Bukit Kapar, Klang, Selangor.

Pertandingan itu membabitkan ciptaan motosikal buatan khas membabitkan lapan peserta dari seluruh dunia.

Beliau berkata, kemenangannya itu sudah dijangka berikutan mendapat ulasan dan pandangan positif daripada rakan pembina motosikal yang lain.

“Selama enam bulan saya membina Bone X dengan kos RM60,000 dan ia disiapkan pada November 2017 menggunakan enjin klasik AJS Motorcycle satu silinder berkapasiti 350 cc tahun 1967.

“Keistimewaan enjin ini ia memiliki silinder panjang dan memberikan bunyi unik tersendiri.

“Saya mendapat ilham daripada seorang pembina dari Jepun, iaitu Cikara Hagata. Hampir 90 peratus bahagian motosikal itu adalah buatan tangan dan selebihnya membabitkan bahagian enjin, tayar dan pam brek,” katanya.

Beliau berkata, selain warna krom yang berkilat menjadi tumpuan utama Bone X, dua spring terletak di bahagian paling atas berfungsi sebagai penyerap hentak untuk tayar hadapan dan belakang ialah ciptaan pertama di dunia dan dibangunkan sendiri olehnya.

Omar bersama Bone X yang memenangi tempat kedua pada ‘AMD World Championship of Custom Bike Building’ di Jerman, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.