REHDA harap tiada cukai baharu beban pemaju

Berita Harian - - BISNES -

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) berharap kerajaan tidak mengenakan cukai baharu kepada pemaju perumahan di negara ini bagi memastikan kelangsungan industri hartanah di negara ini terus kekal mampan.

Bekas Presidennya, Datuk Seri FD Iskandar Mohamed Mansor, berkata kerajaan sebaliknya memberikan lebih banyak insentif kepada pemaju, malah kepada pembeli untuk meningkatkan pertumbuhan sektor.

“Kami berharap untuk melihat beberapa pelarasan baharu dibuat bagi memenuhi permintaan pasaran industri hartanah di negara ini.

Kami juga menantikan insentif positif akan diumumkan dalam Bajet 2019 nanti bagi meningkatkan ekonomi pasaran dan sektor hartanah secara khususnya,” katanya pada pelancaran Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2018 anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), di Kuala Lumpur, semalam.

Ia menghimpunkan lebih 50 pempamer termasuk 44 pemaju hartanah tempatan yang menawarkan sejumlah 12,474 unit kediaman bernilai hampir RM9 bilion.

Turut ditawarkan kira-kira 6,000 unit rumah mampu milik bernilai keseluruhan RM6.9 bilion.

Tarik 30,000 pengunjung

Antara kategori unit rumah yang ditawarkan terdiri daripada residen dan komersial yang membabitkan kawasan pembangunan di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Pulau Pinang.

Penganjuran kali ini dijangka mampu menarik kira-kira 30,000 pengunjung dan menyasarkan jualan antara RM500 juta hingga RM1 bilion.

Mengulas mengenai pengurangan harga rumah selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), FD Iskandar berkata, REHDA masih menjalankan kajian mengenai perkara itu dan akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan sebelum pembentangan Bajet 2019, yang dijadualkan 2 November depan.

“Pengurangan harga rumah perlu dilihat secara holistik dan perlu menentukan pengukuran pengurangan yang komprehensif. Ini kerana kita juga perlu melihat aspek caj lain-lain yang dikenakan terhadap pemaju seperti kos pematuhan.

“Pada masa sama, kerajaan negeri juga sepatutnya memberi kelonggaran kepada kami dan jangan terlalu menekan pemaju semata-mata,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.