Sentimen ekonomi positif pacu pasaran

NAPIC jangka tiada penurunan besar separuh kedua 2018

Berita Harian - - HARTANAH - Oleh Nurhayati Abllah nurhayatiabllah@nstp.com.my

Pasaran hartanah dijangka lebih baik pada separuh kedua 2018 dan enam bulan pertama tahun depan, didorong oleh pertumbuhan ekonomi Malaysia yang diunjurkan beransur pulih.

Meskipun ada beberapa cabaran ekonomi dan kewangan pada masa akan datang, sentimen isi rumah dan persekitaran perniagaan dijangka kembali meningkat yang mana seterusnya memacu kepada pertumbuhan prestasi hartanah lebih baik.

Laporan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) merekodkan, pasaran hartanah pada separuh pertama 2018 adalah perlahan.

Terdapat lebih daripada 149,889 jumlah transaksi bernilai RM67.74 bilion, penurunan bilangan transaksi sebanyak 2.4 peratus dan nilai sebanyak 0.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 153,526 transaksi dengan nilai RM67.83 bilion.

Dari aspek permintaan, aliran bercampur-campur direkodkan pada indikator permintaan harta kediaman dan harta bukan kediaman yang mana jumlah pinjaman yang dipohon untuk pembelian harta kediaman menurun sebanyak 3.1 peratus berbanding separuh pertama 2017, manakala pinjaman yang diluluskan susut 0.2 peratus.

Bagaimanapun, situasi berbeza kepada harta bukan kediaman yang mana, pinjaman yang dipohon dan diluluskan menunjukkan peningkatan masing-masing sebanyak 14.2 peratus dan 6.6 peratus.

Peningkatan jualan selepas pilihan raya

Pengarah Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Md Badrul Hisham Awang, berkata pihaknya menyaksikan ada peningkatan jualan selepas tempoh pilihan raya lalu.

“Meskipun kami masih belum membuat laporan bagi suku ketiga 2018, tetapi didapati transaksi meningkat. Jadi, kami menjangkakan tiada penurunan besar bagi separuh kedua 2018 dan pasaran hartanah bagi tempoh enam bulan akan datang serta seterusnya lebih optimis,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Mengulas mengenai peningkatan kediaman siap dibina tidak dijual, beliau berkata, ia turut bergantung kepada sentimen pasaran dan persekitaran ekonomi.

Laporan JPPH juga menunjukkan subsektor kediaman terus memacu pasaran dengan menguasai 62.8 peratus jumlah bilangan dan 46.7 peratus jumlah nilai transaksi.

Sebanyak 94,202 transaksi bernilai RM31.66 bilion sudah dicatatkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dan ia menunjukkan penurunan dalam bilangan dan nilai dengan masingmasing menunjukkan penurunan 0.8 peratus dan 3.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Selain itu, rumah berharga RM200,000 dan ke bawah terus menguasai pasaran mewakili 46.6 peratus.

Kuasa pembeli rumah dalam lingkungan harga ini dapat dilihat dengan jelas di semua negeri kecuali Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kami menjangkakan tiada penurunan besar bagi separuh kedua 2018 dan pasaran hartanah bagi tempoh enam bulan akan datang serta seterusnya lebih optimis” Md Badrul Hisham Awang, Pengarah NAPIC

[ FOTO HIASAN ]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.