MUFTI PAHANG ANGGAP PESTA ARAK HINA AGAMA RASMI

Mufti Pahang dakwa umat ada hak bantah pesta arak, pertahan agama rasmi

Berita Harian - - MUKA DEPAN - Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, menegaskan adalah menyedihkan jika Islam sebagai agama rasmi negara ini membenarkan penganjuran pesta arak, Oktoberfest.

Beliau berkata, ia seolah-olah penghinaan kepada agama Islam di negara ini dan pengikutnya apabila pesta seumpama itu dianjurkan di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur

“Orang bukan Islam dibenarkan untuk minum arak dan makan babi di negara ini, tetapi bukan di kawasan terbuka, (tapi) mereka kata nak buat di kompleks beli-belah di Kuala Lumpur, itu bukan kawasan terbuka ke?

Buat tempat tertutup

“Jika mereka hendak buat di kawasan tertutup, itu hak mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Karnival Usahawan Asnaf Negeri Pahang, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan merasmikan karnival itu.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad baru-baru ini dikatakan memberi lampu hijau mengenai penganjuran pesta arak yang berasal dari Jerman itu di ibu negara dengan bersyarat, iaitu penganjur perlu membuat permohonan bagi mendapatkan permit dan mematuhi garis panduan ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)

Hak bantah

Abdul Rahman berkata, umat Islam mempunyai hak membantah pesta itu kerana selain mempertahankan martabat Islam sebagai agama rasmi, ia juga bertujuan mencegah kemudaratan.

“Saya bagi contoh sekiranya kita ada anak, adakah kita hendak tengok anak kita lihat perkara yang tidak baik? Misalnya, hisap rokok, mesti tidak akan buat perkara itu depan mereka,” katanya.

Sementara itu, karnival berlangsung selama empat hari bermula semalam berjaya menarik 160 usahawan asnaf dari seluruh Pahang.

Karnival anjuran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) itu bertujuan meningkatkan pendapatan golongan asnaf supaya mampu berdikari dan akhirnya keluar daripada kehidupan fakir dan miskin.

Orang bukan Islam dibenarkan minum arak dan makan babi di negara ini, tetapi bukan di kawasan terbuka, (tapi) mereka kata nak buat di kompleks beli-belah di Kuala Lumpur, itu bukan kawasan terbuka ke?” Abdul Rahman Osman, Mufti Pahang

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.