INSKEN tumpu usaha bangun usahawan B40

Pelbagai program latihan disedia bantu tingkat pendapatan

Berita Harian - - BISNES - Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), akan terus memberi tumpuan terhadap pembangunan keusahawanan, terutama golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhd Firdaus Azharuddin, berkata salah satu cara untuk membantu meningkatkan pendapatan B40 adalah melalui keusahawanan.

Katanya, sebagai agensi yang memfokus kepada program latihan pembangunan keusahawanan, INSKEN berada di landasan tepat menawarkan pelbagai inisiatif sekali gus memberi bimbingan kepada usahawan di seluruh negara.

Melatih 28,330 usahawan

“Sejak 2015, INSKEN berjaya melatih 28,330 usahawan tempatan menerusi 1,109 program latihan pembangunan usahawan yang diadakan di seluruh Malaysia.

“Setakat 2017, INSKEN mendapati sebanyak 325 daripada 500 syarikat yang mengikuti program latihan kami berjaya meningkatkan pendapatan mereka sehingga 10 peratus.

“Buat masa ini juga INSKEN menyediakan sembilan program yang membantu usahawan dalam pelbagai industri dan kami akan terus menambah program yang bersesuaian dengan keperluan usahawan,” katanya kepada media selepas prapelancaran Persidangan Kemuncak Pemasaran Global (GMS) di Petaling Jaya, semalam.

Muhd Firdaus berkata, program INSKEN yang lebih khusus dan spesifik tahun ini juga dapat mengubah prestasi usahawan dengan adanya sesi pementoran perseorangan mengikut industri.

“Cara ini lebih dekat untuk usahawan dan mentor mengenal pasti masalah perniagaan dan terus menyelesaikannya dalam tempoh yang singkat. Terbaru, kami dapat mencari mentor yang sanggup berkongsi dan mengajar selokbelok memperkasakan lagi sektor perniagaan trak makanan,” katanya.

Beliau berkata, berikutan kejayaan penganjuran GMS tahun lalu, pihaknya sekali lagi menganjurkan GMS 2018 untuk usahawan tempatan yang berminat melonjakkan perniagaan mereka sekali gus kekal menerajui pasaran.

GMS 2018 akan berlangsung pada 8 November ini di Grand Hyatt dan sehingga kini lebih kurang 800 peserta akan mengambil bahagian.

Antara penceramah jemputan yang bakal hadir terdiri daripada Rob Craven (Penasihat Jualan Microsoft dan Airbus), Vinita Bali (mantan Pengarah Pemasaran Coca-cola dan Cadbury), Ashraf Sinclair (pelakon dan pemilik TGI Fridays Indonesia) dan Neelofa (Pengasas Naelofar Hijab).

[ FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN / BH]

Muhd Firdaus (kanan) dan Ketua Pembangunan Perusahaan Berprestasi Tinggi INSKEN Dr Izham Shah Datuk Arif Shah prapelancaran Persidangan Kemuncak Pemasaran Global (GMS) di Petaling Jaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.