Jepun tak letak syarat bon Samurai: Dr Mahathir

Pinjaman RM7.4 bilion boleh diguna bangunkan pelbagai projek perkukuh fiskal negara

Berita Harian - - MUKA DUA - Oleh Manirajan Ramasamy dan Luqman Arif Abdul Karim

Jepun tidak meletak sebarang syarat ketika memperuntukkan bon Samurai dengan nilai keseluruhan RM7.4 bilion kepada Malaysia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri ketika menjelaskan perkara itu berkata, pinjaman mudah bagi tempoh 10 tahun berkenaan berupaya digunakan untuk pelbagai tujuan, selain mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

“Ia (bon Samurai) boleh digunakan untuk bayar pinjaman atau dibelanjakan untuk membangunkan pelbagai projek.

“Tiada syarat dikenakan (Jepun ketika memberikan bon berkenaan),” katanya selepas merasmikan Forum Ekonomi Cina Sedunia (WCEF) di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur WCEF, Tan Sri Dr Michael Yeoh; Pengerusi bersama merangkap Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming dan Duta Khas Malaysia ke China, Tan Kok Wai.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir mengakui syarikat rel Jepun, JR Kyushu, adalah antara peneraju industri berkenaan.

Timba pengalaman, kemahiran

Justeru, katanya, Malaysia berupaya menimba pengalaman dan kemahiran berkaitan dari Negara Matahari Terbit itu.

“Kita nak belajar daripada mereka. Malaysia mahu Jepun menasihati kita mengenai bagaimana menguruskan pelbagai program pengangkutan di negara ini,” katanya.

Menyentuh cadangan pembangunan industri automotif ketiga negara, Perdana Menteri menjelaskan, ia adalah usaha diterajui sektor swasta yang mempunyai ‘pilihan terbuka’ dalam memilih teknologi bersesuaian.

“Terpulang kepada mereka (sektor swasta) menguruskannya. Mereka boleh pilih Jepun, China atau Korea (untuk menjalin kerjasama). Kita (kerajaan) tidak meletakkan sebarang syarat,” katanya.

Mengulas hasil rundingan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Dr Mahathir menyifatkan ia bukan tugas mudah, namun kerajaan bertekad supaya keputusan mengenai projek yang dikatakan mampu mengimbangi kemajuan dengan Pantai Barat Semenanjung itu berupaya mencapai kata sepakat.

Tiada had tempoh rundingan

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak mempunyai unjuran tertentu mengenai tempoh rundingan sebelum kata putus mengenai ECRL diumumkan.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir mengalu-alukan hasrat bekas veteran UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz, menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU bagaimanapun berkata, kerajaan ketika ini tidak mempunyai percaturan melantik bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menyandang jawatan tertentu dalam Kabinet.

“Beliau (Rafidah) sudah lama berkhidmat dengan kita, justeru kehadirannya ke BERSATU amat dialu-alukan.

“Saya tidak tahu apa-apa mengenai pemberian sebarang jawatan, tetapi beliau akan menjadi ahli (BERSATU),” katanya.

Terdahulu dalam ucaptama perasmian majlis berkenan, Dr Mahathir menzahirkan penghargaan sumbangan komuniti Cina dalam membantu usaha memacu pembangunan Malaysia, malah mengakui rakyat negara yang kini muncul sebagai antara kuasa besar dunia itu menguasai kemahiran menerajui rantaian sektor perniagaan.

Ia (bon Samurai) boleh digunakan untuk bayar pinjaman atau dibelanjakan untuk membangunkan pelbagai projek. Tiada syarat dikenakan (Jepun ketika memberikan bon berkenaan)” Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri

[FOTO BERNAMA]

Dr Mahathir menerima cenderahati berupa kaligrafi Cina daripada Naib Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Perundingan Politik Rakyat China, Cy Leung ( kiri) pada majlis Forum Ekonomi Cina Sedunia di Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.