‘Memang saya suruh Zahid bubar UMNO’

Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui menyuruh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membubarkan UMNO kerana parti itu sudah tidak lagi memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara

Berita Harian - - MUKA DEPAN - Oleh Nadia Hamid dan Veena Babulal

Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui menyuruh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membubarkan UMNO kerana parti itu sudah tiada prinsip perjuangan.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkata UMNO kini hanya pertubuhan berdaftar yang tidak lagi memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara.

“Secara benar, sudah tiada UMNO cuma satu badan, prinsip perjuangannya sudah tidak ada. Apa perlunya ahli UMNO kekal dalam parti yang sudah tinggalkan perjuangannya... yang utamakan duit, cash is king?

“Sebab itu, UMNO yang semacam itu perlu dibubar,” katanya dalam rakaman video temu bual yang dimuat naik di media sosial BERSATU, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad Zahid sebelum ini yang mendakwa diminta bubarkan UMNO dan menyertai BERSATU.

Dr Mahathir berkata, UMNO yang dipandang tinggi sebelum ini, kini dipandang jijik oleh semua kaum di negara ini.

“Dahulu, UMNO tidak pernah kalah. UMNO kalah sejak menyeleweng disebabkan pemimpin mengutamakan duit daripada perjuangan,” katanya.

Beliau juga berkata, ahli UMNO yang berhasrat menyertai BERSATU perlu membuktikan mereka sudah ‘taubat’ daripada tabiat buruk dalam parti politik lama.

Katanya, BERSATU akan menerima ahli UMNO yang disenangi dan sudah diteliti perlakuan mereka.

“BERSATU akan menapis terlebih dahulu dan tidak akan menerima individu yang masih berpegang kepada niat masuk parti politik untuk mendapat peluang dan kedudukan.

“Kalau sekarang, sesiapa yang ingin menyertai BERSATU, mereka mesti buktikan sudah tidak terikat lagi dengan UMNO, mereka menyokong tindakan baik yang dilaksanakan BERSATU. Mereka bukan boleh masuk sebagai satu kumpulan besar, yang berniat untuk menguasai BERSATU.

“BERSATU tidak boleh dikuasai sesiapa. BERSATU dikuasai perjuangannya,” katanya yang mengulas penolakan ahli BERSATU untuk menerima kemasukan beramai-ramai ahli UMNO kerana risau budaya buruk UMNO diserap ke dalam parti itu.

Dr Mahathir berkata, sikap buruk pemimpin dan ahli UMNO adalah dipengaruhi wang, iaitu cash is king yang menyebabkan parti itu ditolak rakyat.

Patut bertindak dari awal

Katanya, ahli UMNO sepatutnya bertindak dari awal menyingkirkan pemimpin dipengaruhi wang, bukan kekal dalam pentadbiran walaupun kecewa dengan pentadbiran regim lalu.

“Ahli UMNO perlu bertindak menyingkirkan pemimpin menyeleweng. Sekurang-kurangnya, apabila pemimpin itu mengeluarkan pemimpin yang lurus, sepatutnya mereka (ahli UMNO) keluar bersama. Dengan itu pemimpin itu akan jatuh.

“Tetapi kerana dipengaruhi cash is king, mereka tidak menurut (keluar parti). Mereka kekal dalam UMNO dan akhirnya kelakuan mereka tidak disenangi dan disukai rakyat. Rakyat tolak mereka,” katanya.

Dr Mahathir berkata ramai ahli UMNO patut keluar parti ketika krisis pentadbiran sebelum ini, jika benar mereka berpegang kepada kepada prinsip perjuangan UMNO.

Bagaimanapun, katanya, ramai ahli UMNO terpengaruh dengan wang sehingga sanggup menjual perjuangan UMNO.

“Perjuangan UMNO bukan untuk orang tertentu seperti Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein atau saya sendiri. Perjuangan UMNO adalah untuk bangsa, agama dan negara.

“Tetapi bila kita lihat perjuangan puak tertentu untuk menyelamatkan pemimpin, sehingga tidak mahu pedulikan pemimpin yang buat perkara tidak baik,” katanya.

Dr Mahathir mengakui BERSATU diterokai, dimulakan, didaftar oleh bekas ahli UMNO, bahkan pemimpin UMNO yang lurus, bersih serta kecewa dengan pentadbiran regim lalu.

Ditanya nasihat kepada ahli UMNO yang masih berfikir atas pagar dan hendak masuk BERSATU, Dr Mahathir berkata, mereka perlu membuang sentimen ‘tidak tahu’ dengan isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, beliau tidak boleh menerima dakwaan yang ahli UMNO naif, tidak tahu apa yang berlaku dalam skandal penerimaan wang RM2.6 bilion daripada sumber, dipercayai Kerajaan Arab Saudi.

“Satu perkara mustahil mereka tidak tahu, satu dunia sudah tahu. Kalau betul-betul mereka tidak tahu, ini bermakna mereka tidak ambil berat dalam perjuangan parti mereka. Saya tidak boleh terima dakwaan kononnya mereka masih percaya duit yang banyak itu diberi oleh orang Arab... RM2.6 bilion.

“Saya minta RM100 pun tidak dapat. Apa yang Najib buat sampai Pak Arab baik sangat bagi duit begitu banyak? Tidak masuk akal. Yang masuk akal ialah, dia (Najib) curi duit 1MDB. Tetapi ada ahli UMNO, rupanya tidak tahu, (dan ingat) saya percaya terhadap dakwaan mereka.

“Kalau orang macam ini nak (terus) jadi ahli UMNO, dia tetap akan merosakkan UMNO... dan kalau orang macam ini masuk BERSATU, dia akan rosak parti BERSATU,” katanya.

Dr Mahathir Mohamad

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.