Zaid dakwa artikel dalam blog ditujukan kepada Daim

Berita Harian - - ISU -

Kuala Lumpur: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, menjelaskan artikel yang disiarkan dalam blognya bahawa keputusan kerajaan dipengaruhi jutawan dan tauke bukan ditujukan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebaliknya, katanya, ia merujuk kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP).

Beliau berkata, berlaku salah faham mengenai artikel berkenaan yang membuatkan Dr Mahathir meluahkan kekecewaan terhadapnya.

“Tun M (Dr Mahathir) jelas kecewa dengan kenyataan saya. Malangnya, beliau salah faham mengenai penulisan saya. Saya tidak mengatakan beliau mempunyai berbilion (ringgit).

“Lebih malang lagi, saya terpaksa beritahu apa yang dikatakan orang lain, iaitu; Tun Daim dan rakan jutawannya mentadbir kerajaan,” katanya dalam status yang dimuat naik di Twitter, semalam.

PH gagal penuhi janji

Sebelum ini, Zaid dalam perkongsian di blognya menulis antara daripada kelemahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ialah kegagalan memenuhi janji untuk melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan.

Zaid mendakwa manifesto PH yang menjanjikan negara berkebajikan kini dipengaruhi oleh jutawan dan tauke.

“Masalahnya ialah pembuat keputusan sebenar dalam kerajaan PH bukan sosialis atau penyokong sistem kebajikan. Mereka adalah jutawan dan tauke yang rapat dengannya dan sependapat dengan pemikiran ekonomi Dr Mahathir.

“Sudah tentu mereka suka menjual aset dan menyokong idea melahirkan lebih ramai ahli perniagaan kaya. Mereka percaya ini akan mempunyai kesan berikutnya (memanfaatkan orang miskin apabila kekayaan golongan atasan bertambah) dan semua orang akan gembira serta puas hati,” kata Zaid.

Kelmarin, ketika ditemui media di Yayasan Kepemimpinan Perdana, Dr Mahathir dalam reaksinya meminta Zaid untuk mengemukakan bukti kononnya beliau mempunyai wang berbilion ringgit.

Tun M jelas kecewa dengan kenyataan saya. Malangnya,beliau salah faham mengenai penulisan saya. Saya tidak mengatakan beliau mempunyai berbilion (ringgit)” Zaid Ibrahim, Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.