Pemimpin BERSATU dilantik, bukan dipilih

Berita Harian - - ISU -

Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) supaya tidak mencontohi sikap tamak pemimpin dan ahli UMNO.

Pengerusi BERSATU itu berkata, mereka mempunyai sifat mementingkan diri sendiri akan ditolak rakyat, seperti UMNO.

“Pemimpin BERSATU bukan dipilih, tetapi dilantik. Ketika kita mula mendirikan parti, ketika itu kita tidak dapat mengadakan mesyuarat untuk menentukan siapa jadi pemimpin.

“Kita cuma pilih orang (pemimpin) yang kita harap boleh membangunkan parti. Tetapi (sekarang) kita dapati sudah jadi pemimpin, (mereka) untuk menyelamatkan diri, tak nak orang lain masuk,” katanya dalam satu temu bual yang dimuat naik di platform media sosial BERSATU, semalam.

Ulas kekecewaan ahli

Beliau mengulas kekecewaan ahli BERSATU, seolah-olah mereka dipinggirkan dan pemimpin parti turut tidak mendengar keluhan mereka, selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dr Mahathir meminta ahli BERSATU membuang sikap merebut peluang menjadi pemimpin parti.

“Kalau masuk orang lebih berbakat dari kita, (ahli rasa) itu ada cabaran, itu bahaya bagi kita, susah la.

“Umpamanya, saya tidak boleh (bekerja) dengan pemimpin macam ini. Orang ini patut digugurkan. Orang ini patut disingkirkan. Ada pemimpin yang buang semua ahli jawatankuasa bahagian dan cawangan.

“Kalau itu perjuangkan mereka, sukarlah kita nak bagi masa (memimpin) kepada mereka,” katanya.

Dr Mahathir dengan jelas menyatakan tidak pilih kasih dalam mendengar pandangan ahli, sekali gus menegaskan enggan melayan keluhan dan desakan orang yang kecewa.

“Orang yang kecewa memang dia sebut kekecewaannya. Sekarang, kita sibuk memulih semula kewangan negara, dan nak dengar keluhan (semua ahli) ambil masa.

“Hari ini bukan masa untuk nak angkat diri. Hari ini adalah untuk kita menghambakan diri kepada perjuangan Melayu, Islam dan negara Malaysia,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.