Rating negara tidak terjejas

Agensi penarafan antarabangsa fahami aturan defisit fiskal: Guan Eng

Berita Harian - - ISU - Oleh Siti Nur Mas Erah Amran

Kerajaan yakin agensi penarafan antarabangsa utama tidak akan menurunkan rating Malaysia, walaupun timbul kebimbangan berhubung bebanan hutang negara yang diuruskan daripada pentadbiran terdahulu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata agensi penarafan antarabangsa, Moody’s dan Standard & Poor memahami aturan defisit fiskal negara ketika ini.

“Sampai sekarang tiada unsur untuk (agensi) turunkan (downgrade) kedudukan, memang kita bimbang, tapi saya bagi sebab untuk naikkan defisit fiskal, langkah susulan dan mereka terima.

Pertumbuhan ekonomi lebih mapan

“Kerajaan komited melaksanakan langkah konsolidasi fiskal untuk mengurangkan defisit kepada 3.4 peratus pada 2019, tiga peratus pada 2020 dan 2.8 peratus pada 2021.

“Menerusi pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan, ia turut akan menambahkan hasil kepada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di Sri Pentas, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung pertemuannya bersama agensi penarafan antarabangsa terbabit di Hong Kong baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan sewajarnya diberi masa untuk menstabilkan kembali ekonomi negara.

“Kita tidak minta 30 tahun, sebaliknya hanya tiga tahun masa yang diperlukan untuk menyelesaikannya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertanggungjawab sepenuhnya dalam pelaksanaan sistem kad khas dalam menyalurkan subsidi petrol secara bersasar.

Katanya, Menteri berkenaan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengelola kaedah pelaksanaan kad petrol RON95 yang akan diberikan kepada golongan berpendapatan terendah (B40) jika ia dilaksanakan.

“Saya minta beliau (Saifuddin) untuk uruskan kad subsidi petrol ini yang akan dapat meringankan beban dan kos sara hidup rakyat.

“Semuanya diputuskan oleh Saifuddin dan tender terbuka bagi pelaksanaan sistem berkenaan akan dijalankan oleh Kementerian Kewangan.

Peruntukan RM2 bilion

“Untuk maklumat terperinci, tanya beliau kerana beliau akan menjadi pengelola dan pengurus projek ini,” katanya.

Saifuddin sebelum ini berkata, golongan B40 akan diberi keutamaan menikmati subsidi 30 sen yang dilaksanakan bermula suku kedua tahun hadapan membabitkan kuota individu 100 liter bagi kereta dan 40 liter motosikal sebulan.

Sejumlah RM2 bilion diperuntukkan dan dijangka memanfaatkan empat juta pemilik kereta serta 2.6 juta pemilik motosikal. Menteri Kewangan

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.