Cara umum skim P2P dorong tuduhan kronisme

Berita Harian - - ISU -

Kuala Lumpur: Datuk A Kadir Jasin percaya cara skim pembiayaan antara rakan setara (P2P) bagi pemilikan rumah diumumkan selepas pembentangan Belanjawan 2019 minggu lalu, mendedahkan kerajaan kepada tuduhan amalan kronisme dan nepotisme.

Menurut Penasihat Media dan Komunikasi Pejabat Perdana Menteri itu, beliau percaya kemungkinan skim pembiayaan dana awam P2P ‘bocor’ apabila beberapa hari selepas pembentangan Belanjawan 2019, ada pihak dipercayai menghantar cadangan berkaitan mendedah butiran kepada orang ramai.

“Walaupun satu kelaziman bagi kerajaan untuk menerima cadangan daripada orang awam, cara skim P2P diumumkan mendedahkan kerajaan kepada tuduhan kronisme dan nepotisme.

“Ya, Menteri Kewangan boleh mengumumkan ia sebagai dasar, tetapi cara yang betul adalah kerajaan meminta seberapa banyak cadangan daripada orang ramai supaya mempunyai banyak pilihan,” katanya dalam catatan terbaru di blognya semalam.

Sabtu lalu, Dr Mahathir Mohamad dipetik berkata penyelesaian Pendanaan Awam Hartanah diumumkan dalam Belanjawan 2019 akan memacu pembinaan sejuta rumah dalam tempoh 10 tahun seperti dijanjikan Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Perlu berhati-hati

Mengulas lanjut, Kadir berkata, semua pihak mahu melihat skim berkenaan berjaya, namun kerajaan perlu berhati-hati dalam pelaksanaannya.

“Saya harap kerajaan Malaysia melihat perkara ini dengan teliti bagi menghalang ahli perniagaan tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan,” katanya.

Beliau berkata, isu utama perumahan adalah harganya yang terus naik, namun pendapatan statik dan diburukkan lagi dengan kegiatan meraih keuntungan.

Sementara itu, Majlis Perundingan Melayu (MPM) meminta Kementerian Kewangan mengeluarkan cadangan kaedah skim P2P daripada Belanjawan 2019 dan menangguhkan pelaksanaannya.

Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad, berkata kaedah itu belum diuji kesesuaiannya.

Katanya, pada masa sama segala permasalahan perlu dikurangkan supaya peminjam yang majoritinya dalam kalangan B40 tidak terdedah kepada risiko memperoleh sumber dana yang diragui.

“Lagipun mekanisme pembiayaannya masih kabur,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua, berkata platform P2P tidak dimonopoli sesiapa, sebaliknya akan dibuka kepada pihak atau syarikat lain yang berminat dan perlu mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti terlebih dahulu.

“Saya jangkakan lebih banyak platform menawarkan perkhidmatan P2P ini akan muncul sebaik sahaja peraturan mengenainya dikeluarkan pada suku pertama tahun depan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.