Terap semangat ‘Deepavali’ dalam kehidupan: PM

Berita Harian - - ISU -

Rembau: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berharap semangat sambutan Deepavali dapat diterapkan dalam kehidupan rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Beliau berkata, perayaan itu yang mengajar penganut Hindu supaya ‘mencerahkan dunia’ dan mengambil berat ke atas semua makhluk termasuk yang paling kecil memberi mesej yang amat besar maknanya.

“Apabila kita mengambil berat mengenai makhluk yang kecil (merujuk kepada lukisan kolam iaitu hiasan lantai daripada beras yang diwarnakan yang menjadi makanan kepada semut dan serangga), maka kita akan turut mengambil berat mengenai makhluk yang besar iaitu manusia dan dunia akan menjadi aman tenteram.

“Keadaan aman tenteram dan sejahtera, sudah tentu negara akan dapat dibangunkan untuk kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat pelbagai kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2018 di Dataran Rembau di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith; Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

7,000 hadir majlis

Kira-kira 7,000 penduduk pelbagai kaum dari sekitar daerah ini menghadiri majlis berkenaan dengan sebahagiannya tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dan bergambar bersama Perdana Menteri.

Dr Mahathir berkata, sambutan perayaan pelbagai kaum di negara ini membuktikan rakyat hidup aman damai dan keadaan ini perlu dipertahankan oleh semua pihak.

Terdahulu, Dr Mahathir serta Dr Siti Hasmah meluangkan masa melawat Pusat Jagaan Kanak-kanak Vivekananda, di sini dan beramah mesra dengan penghuni dan kakitangan pengurusan pusat itu.

[FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN /BH]

Dr Mahathir melihat kolam pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2018, di Rembau Negeri Sembilan, malam tadi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.