Pentadbiran telus jadikan negara destinasi pelaburan

Malaysia baharu mewajarkan China melihat kita sebagai rakan dagangan

Berita Harian - - ISU - Oleh Manirajan Ramasamy dan Luqman Arif Abdul Karim

Perubahan tampuk pentadbiran yang menyaksikan negara kini lebih telus dalam urus tadbirnya mewajarkan China melihat Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan dan perdagangan.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ini kerana Malaysia melakar sejarah pada 9 Mei lalu apabila berupaya mengubah landskap pentadbiran pasca pemerintahan Barisan Nasional (BN) lebih 60 tahun.

“Kita sudah mengharungi pelbagai cabaran dan menempa perubahan, malah negara ini sangat unik kerana rakyat Malaysia kata cukup-cukuplah dengan isu perkauman dan rasuah.

Bina Malaysia baharu

“Kali ini kita bina Malaysia baharu,” katanya pada ucaptama selepas menerima Anugerah Kebajikan Khas sempena Forum Ekonomi Cina Sedunia, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Pengerusi Jawatankuasa Penganjur WCEF, Tan Sri Dr Michael Yeoh; Pengerusi bersamanya merangkap Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming dan Duta Khas Malaysia ke China, Tan Kok Wai.

Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau tidak layak menerima sebarang anugerah atau penghargaan bagi memperingati kejayaan mengubah tampuk pentadbiran negara itu. Ketua Umum PKR

“Ramai lagi rakan seperti Lim Kit Siang (Ahli Parlimen Iskandar Puteri dan bekas Ketua Parlimen DAP) dan lain-lain yang memerah keringat mereka menabur bakti kepada negara.

“Saya hanya banyak berehat di penjara,” katanya berseloroh.

Perubahan jelas

Anwar yang juga bakal Presiden PKR berkata perubahan kini jelas dicerminkan dalam strata masyarakat apabila tiada isu berbangkit yang menyentuh pertindihan elemen perkauman.

Perkembangan positif itu, katanya, hasil kerjasama dan tekad rakyat Malaysia untuk mengetepikan perbezaan warna kulit dan perkauman demi meraih manfaat bersama dengan menukar kerajaan.

“Seperti dikatakan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad), kita mesti kongsi kekayaan dan memperakui peranan rakyat berbilang kaum dan bangsa di negara ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.