Tajuk Isteri Untuk Disewa tak sesuai

Dikhuatiri jadi trend jika tidak diberi penerangan: Zulkifli

Berita Harian - - ISU - Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

Drama bersiri Isteri Untuk Disewa yang mula disiarkan Isnin lalu, mendapat teguran Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-bakri, berikutan tajuknya yang kurang sesuai

Zulkifli berkata, sebab utama beliau berbuat sedemikian ialah persoalan daripada mustafti berhubung tajuknya dan isu fiqh perkahwinan yang wujud dalam drama berkenaan.

Akad sahih

“Tajuk drama ini, jika difahami secara zahir, adalah suatu perkara amat bertentangan zahir nas al-quran dan sunnah. Begitu juga dengan moraliti kehidupan manusia sama ada Islam mahupun bukan Islam.

“Tanpa menafikan kebebasan berkarya dalam budaya penggiat seni, kami merasakan tajuk itu kurang sesuai. Alasan kami jelas, isteri bukan untuk disewa.

“Isteri adalah akad sahih dan diperintahkan untuk bergaul dengan baik sebagaimana tertera dalam Surah al-nisa’ ayat 19.

“Ibnu Kathir ketika mengulas ayat ini menegaskan supaya memperhaluskan kata-kata dan Mufti Wilayah Persekutuan memperindahkan perilaku serta sikap, sebagaimana kita kehendaki daripada seorang isteri.

“Tajuk provokatif dikhuatiri akan menjadi trend dalam penggiat seni jika tidak diberi penerangan jelas daripada hukum syarak mengenai implikasinya dalam masyarakat,” katanya melalui penulisan dimuat naik dalam laman sosial Facebook beliau.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, implikasi tajuk turut menjadi perhatian pihaknya memilih drama berkenaan.

Tak halang kebebasan, kreativiti berkarya

“Dalam Islam, tiada istilah isteri kontrak sama ada dalam tempoh jam, hari, minggu atau bulan. Meminjam isteri bukanlah amalan dalam Islam, begitu juga menyewa isteri.

“Isteri adalah amanah Allah kepada suami untuk dimuliakan, dikasihi, disayangi dan diberi haknya seperti termaktub dalam nas al-quran, hadis dan pandangan fuqaha.

“Kami yakin, tidak ada sekelumit niat dalam hati penulis novel dan pengarah itu membuat sesuatu di luar landasan Islam, namun sewaan isteri jelas adalah sejuzuk daripada cabang mut’ah yang tidak dibenarkan dalam kalangan fuqaha Ahli Sunah wal Jama’ah dan diharamkan dalam Islam,” katanya.

Zulkifli berkata, pihaknya menganggap pengarah mungkin terkhilaf dalam menentukan tajuk dan jalan cerita drama itu yang dikatakan diadaptasi daripada novel.

“Sekali lagi ditegaskan bahawa kami sama sekali tidak berhasrat menyekat kebebasan dan kreativiti dalam berkarya. Namun, seeloknya biarlah ia selari dengan agama dan budaya ketimuran kita,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.