‘SAYA TAK TAHU ADA TUDUHAN CABUL’

Gagal hadir pertuduhan, peguam maklum bekas menteri tunai umrah

Berita Harian - - MUKA DEPAN - Oleh Muhaamad Hafis Nawawi dan Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Mahkamah Sesyen di sini semalam mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim selepas gagal hadir bagi menghadapi pertuduhan kes mencabul seorang gadis bawah umur, bulan lalu.

Waran itu dikeluarkan Hakim Johari Hassan setelah Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail membuat permohonan itu.

Peguam mewakili Shahidan, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim membuat bantahan terhadap pengeluaran waran itu kerana anak guamnya dan beliau sendiri tidak dimaklumkan mengenainya lebih awal.

“Saya mengetahui pengeluaran waran ini ketika berada di mahkamah pada pagi ini (semalam), sedangkan anak guam saya berada di luar kawasan.

Mohon batal waran tangkap

“Saya akan memohon semula kepada mahkamah untuk membatalkan waran tangkap itu, kes berprofil tinggi seperti ini perlulah dimaklumkan lebih awal, apatah lagi membabitkan ahli politik.

“Shahidan tidak lari, kerana beliau menetap di Perlis. Waran tangkap hanya dikeluarkan jika beliau melarikan diri,” katanya.

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau kini berada di Tanah Suci bagi menunaikan umrah.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan Shahidan perlu hadir di Mahkamah Sesyen Kangar pada Isnin ini untuk menghadapi pertuduhan berkenaan.

Seorang lagi peguam yang mewakili Shahidan, Zuhair Ahmad Zakuan, berkata keputusan itu bermakna waran tangkap yang dikeluarkan terhadap bekas menteri itu semalam tidak ditarik balik.

“Kami membuat permohonan kepada (Ketua Pendakwa Raya Perlis) Mohd Nordin yang mengendalikan kes itu tetapi beliau menolaknya. Ini bermakna Shahidan perlu hadir untuk mendengar pertuduhan terhadapnya Isnin ini,” kata kepada pemberita di luar Mahkamah Sesyen.

Zuhair Ahmad berkata, keputusan tidak menarik balik waran itu dimaklumkan oleh Mohd Nordin kepada Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farhan Aliff Ahmad yang kemudiannya memaklumkan kepada beliau.

Zuhair Ahmad dibantu oleh Syed Muhammad Anwar dan Rabiatul Adawiah Ramli.

Baru-baru ini, tersebar dakwaan Shahidan mencabul seorang gadis berusia 15 tahun 11 bulan yang juga ahli kumpulan buskers yang ditaja oleh beliau.

Kesal tak dimaklum awal

Shahidan bagaimanapun menafikan perbuatan itu yang didakwa berlaku pada 21 Oktober lalu, malah laporan polis terhadapnya oleh remaja itu ditarik balik.

Bapa remaja itu turut menyatakan bahawa perkara itu telah diselesaikan secara baik dan keluarga mereka anggap tidak ada apa yang perlu dihebohkan.

Sementara itu, Shahidan menyatakan rasa kesal kerana tidak dimaklumkan lebih awal mengenai pertuduhan ke atasnya semalam.

“Saya tidak tahu kerana berada di Tanah Suci. Saya menghadap Allah dan jika mereka nak buat apa-apa terpulanglah kerana mereka berkuasa.

“Saya duduk di Makkah, habis cerita dan saya tidak mahu memberi komen langsung mengenai perkara ini. Hangpa (wartawan) tulislah apa yang patut sebab saya sedang mengerjakan umrah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau juga mendakwa tidak tahu mengenai waran tangkap yang dikeluarkan selepas untuk hadir ke mahkamah, semalam.

Saya duduk di Makkah, habis cerita dan saya tidak mahu memberi komen langsung mengenai perkara ini. Hangpa (wartawan) tulislah apa yang patut sebab saya sedang mengerjakan umrah” Shahidan Kassim, Ahli Parlimen Arau

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.