DASAR DANA POLITIK BUKAN RASUAH PUNCA MUSA AMAN TAK DIDAKWA: SPRM

Berita Harian - - MUKA DEPAN -

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan Pejabat Peguam Negara memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, pada 2012 kerana siasatan tertumpu kepada sumbangan politik.

Menurut SPRM, pihaknya menjalankan siasatan ke atas Musa dan kertas siasatan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada Julai 2012 untuk tindakan selanjutnya.

“Dasar Pejabat Peguam Negara ketika itu telah menetapkan untuk tidak menuduh kes yang membabitkan sumbangan politik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

SPRM mengeluarkan kenyataan itu sebagai reaksi laporan berita kelmarin yang memetik Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta SPRM menjelaskan sebab Musa tidak dituduh sebelum ini.

PM mahu penjelasan SPRM

Ketika bercakap kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana, kelmarin, Perdana Menteri dilaporkan berkata, beliau percaya bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mempunyai alasan tertentu mengapa tidak mendakwa Musa berkaitan kes rasuah pada 2012.

Dr Mahathir juga percaya SPRM yang harus memberi penjelasan kenapa Musa tidak didakwa dahulu.

Menurut kenyataan itu lagi, SPRM bagaimanapun sudah mengkaji semula kertas siasatan terhadap Musa beberapa bulan lalu selepas memperoleh maklumat baharu berhubung kes berkenaan.

Susulan itu, SPRM mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk dikaji semula.

“Peguam Negara kemudian memutuskan Musa berhadapan 35 pertuduhan kes rasuah mengikut Seksyen 11(a), Akta Pencegahan Rasuah 1997. Beliau dituduh pada 5 November lalu,” katanya.

Isnin lalu, Musa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi pembalakan di negeri itu yang berjumlah AS$63.3 juta (RM263.46 juta).

Bagi kesemua pertuduhan itu, Musa, 67, didakwa telah meminta rasuah daripada lapan pemilik syarikat konsesi pembalakan ketika memegang jawatan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah dan kesalahan itu didakwa dilakukannya di lapan institusi kewangan di Hong Kong dan Singapura antara Disember 2004 dan November 2008.

Peguam Negara kemudian memutuskan Musa berhadapan 35 pertuduhan kes rasuah mengikut Seksyen 11(a), Akta Pencegahan Rasuah 1997. Beliau dituduh pada 5 November lalu” SPRM

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.