Peluang majukan tanah rizab Melayu

Berita Harian - - ISU -

Begitu juga klausa mengenai apa-apa bentuk pampasan kepada pemajak pada akhir tempoh pajakan. Sekiranya tiada apa-apa klausa mengenai pampasan atau pengembalian kepentingan kepada pemilik, pemajak akan berdepan risiko tiada pemilikan hartanah.

Isu ketiadaan pemilikan kepada pemajak pada akhir tempoh pajakan menjadi punca timbulnya ketidaktentuan bagi pajakan tanah persendirian di Medini Iskandar Malaysia apabila tiada peruntukan khusus mengenai pembaharuan tempoh pajakan.

Dalam kes di Geyland, Singapura pula, pemajak dengan tempoh 60 tahun pajakan diminta keluar dari hartanah pajakan yang berakhir pada 2020 tanpa sebarang pampasan dan tiada lanjutan tempoh diberikan.

Nampaknya, cadangan Skim Pajakan Swasta tidak begitu menarik bagi pelabur hartanah yang mencari keuntungan maksimum semata-mata.

Namun, pelabur yang hanya mencari keuntungan semata-mata mempunyai ruang dan peluang yang lain. Mereka boleh membabitkan diri dengan memajukan hartanah yang tiada sekatan kepentingan di pasaran terbuka.

Mereka boleh bersaing di pasaran terbuka dengan membeli dan memajukan tanah yang sedia ada di pasaran yang dilaporkan banyak terjual di pasaran.

Peluang terbuka

Bagaimanapun, bagi Skim Pajakan Swasta, peluang melabur masih terbuka kepada pihak swasta. Sepatutnya diadakan peruntukan mengenai dana khas tahunan dalam perjanjian pajakan bagi melindungi pemajak.

Keuntungan perniagaan sepanjang tempoh pajakan boleh dirancang dan dijimatkan supaya mereka mampu membeli premis dan menyambung perniagaan di premis yang baharu.

Nampaknya, cadangan pindaan Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Hakmilik Strata 1985 mempunyai kebaikan tertentu, terutama membantu pemilik tanah rizab Melayu.

Pemilik boleh memasuki perjanjian pajakan dengan agensi kerajaan seperti perbadanan negeri dan Persekutuan, contohnya UDA Land, MARA, Tabung Haji, koperasi dan sebagainya. Pada masa sama, pemilik boleh membabitkan diri dalam perniagaan dan belajar memajukan hartanah mereka.

Begitu juga dengan tanah wakaf yang belum dimajukan. Menurut laporan, hanya 12 peratus daripada 30,000 hektar tanah wakaf yang dimajukan di seluruh negara, manakala 88 peratus lagi masih mundur dan perlu perhatian.

Inilah ruang dan peluang bagi agensi kerajaan membantu dan menyumbang dalam memajukan tanah rizab Melayu, Tanah Adat Melaka, tanah wakaf dan sebagainya. Mereka tetap mendapat keuntungan dan pada masa sama menyumbang kepada usaha membasmi kemiskinan rakyat kebanyakan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.