Cabang tak pernah persoal bilangan ahli

Berita Harian - - ISU -

Kuala Lumpur: PKR Cabang Julau tidak pernah mempersoalkan bilangan ahlinya walaupun mempunyai waktu mencukupi berbuat demikian ketika tempoh bantahan.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata tiada pelanggaran proses berlaku berhubung keanggotaan baharu kerana semua Cabang diberi tempoh membantah antara 27 Jun hingga 17 Julai lalu.

“Pada waktu itu tiada sesiapa yang bantah tapi kenapa tibatiba baru sekarang berbuat demikian? Itu proses yang salah,” katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.

Beliau mengulas laporan berhubung kontroversi keanggotaan PKR cabang Julau selepas peningkatan mendadak daripada 603 ahli kepada 13,549 dalam tempoh sehari.

Laporan menyebut, sekurang-kurangnya 11,399 daripada jumlah itu berkongsi alamat sama.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Ismail Yusop, ketika dihubungi menjelaskan, Cabang Julau dimaklumkan mengenai permohonan ahli baharu yang menjadi Prosedur Operasi Standard (SOP) parti.

“Setiap permohonan keanggotaan ahli baharu mesti melalui Cabang sebagai SOP.

“Permohonan dihantar terus ke ibu pejabat PKR, tetapi diberi kepada Cabang selepas 27 Julai lalu untuk mereka membuat semakan.

“Kenapa waktu itu pihak Cabang tidak bangkitkan isu ini atau membuat bantahan kepada ibu pejabat sedangkan mereka ada mesyuarat bulanan yang antaranya membincangkan perkara ini,” katanya.

Ismail berkata, JPP hanya menguruskan proses pemilihan parti menggunakan data keanggotaan dikeluarkan pejabat Setiausaha Agung parti.

“Sekiranya ada keraguan mengenai maklumat keanggotaan ini, itu adalah urusan anggota yang perlu diselesaikan pihak terbabit dengan pejabat Setiausaha Agung,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.