‘Ahli Amanah bertambah 10,000 orang setiap bulan’

Berita Harian - - ISU -

Kuala Terengganu: Peningkatan keanggotaan seramai 10,000 orang setiap bulan membuktikan sokongan rakyat terhadap Parti Amanah Negara (Amanah) kata Presidennya, Mohamad Sabu.

Beliau berkata walaupun baru tiga tahun ditubuhkan, Amanah telah dapat mengumpul lebih 100,000 anggota di seluruh negara dan jumlah itu meningkat dengan pantas selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei lalu.

Katanya, paling mengejutkan apabila Kelantan yang menjadi kubu kuat PAS menjadi negeri kedua tertinggi menyumbang kepada peningkatan anggota Amanah iaitu seramai 2,000 orang sebulan.

Bukti penerimaan kerajaan PH

“Ini juga secara tidak langsung menunjukkan penerimaan rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di mana Amanah adalah parti komponennya.

“Anggota kita paling ramai di Pantai Barat iaitu paling tinggi di Selangor diikuti Kedah dan Johor. Di Pantai Timur pula di Terengganu dan Kelantan kita masih agak perlahan dan usaha keras perlu dilakukan supaya lebih ramai anggota dapat direkrut pada masa akan datang,” katanya berucap merasmikan Konvensyen Tahunan Parti Amanah Negara Negeri Terengganu Kali Ketiga di sini, semalam.

Konvensyen bertemakan ‘Memperkukuh Muafakat Mencipta Gelombang’ yang dihadiri 300 anggota parti itu turut dihadiri Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

Dalam pada itu, Mohamad turut menyangkal tuduhan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mendakwa Amanah sengaja ‘mencuri’ anggotanya disebabkan dendam lama.

Mohamad berkata dakwaan itu tidak masuk akal dan tiada istilah mencuri dalam politik kerana setiap parti mahukan jumlah keanggotaan yang ramai bagi memperkukuh jentera masing-masing.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.