Majlis Tertinggi (MT) UMNO tidak membincangkan langsung isu cuti Presiden

daripada menjalankan tugasnya dan bersetuju meraikan mana-mana cadangan yang dikemukakan berhubung perkara itu

Berita Harian - - MUKA DEPAN - Oleh Rohaniza Idris dan Syed Umar Ariff

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam tidak membincangkan sebarang cadangan supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercuti daripada menjalankan tugas beliau sehingga kesnya di mahkamah selesai.

Ahmad Zahid berkata, tiada ahli MKT mengemukakan cadangan itu termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada mesyuarat itu.

“(Jika) Ada pandangan... kami meraikan perbezaan pendapat dan tiada seorang pun ahli MKT dan Pemuda yang meminta saya bercuti.

“MKT membincangkan pengukuhan institusi Presiden (UMNO) supaya dapat bergerak dengan lebih kukuh selari perjalanan parti dan kami meletakkan titik noktah dalam isu ini dan menolak usaha memecahkan parti dari dalam dan luar,” katanya pada pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan MKT di Menara Dato Onn di sini, semalam.

Sidang media itu turut dihadiri Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan serta dua Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub. Bagaimanapun, Asyraf tidak menyertai sidang media itu.

Sebelum ini, Pemuda UMNO dilaporkan menggesa Ahmad Zahid bercuti dan berehat seketika daripada menjalankan tugas sebagai Presiden parti sehingga kes beliau di mahkamah selesai.

Asyraf Wajdi dilaporkan berkata gesaan itu untuk memberi peluang kepada Ahmad Zahid yang berdepan 45 tuduhan rasuah dan pecah amanah menumpukan usaha membersihkan nama di mahkamah.

Bagaimanapun, dalam siri jelajah parti di Terengganu barubaru ini, Ahmad Zahid menegaskan beliau tidak akan berundur daripada menjalankan tugasnya sebagai Presiden UMNO sehingga kesnya di mahkamah selesai.

Yakin kekal bersama parti

Ahmad Zahid berkata, UMNO menolak semua usaha manamana pihak untuk membawa keluar 48 ahli Parlimen UMNO yang menjadi aset utama parti.

“Saya yakin mereka semua akan kekal bersama parti dan sebarang perbincangan perlu dijalankan secara ‘en-bloc’,” katanya.

Beliau juga menjelaskan MKT juga bersetuju UMNO akan mengetuai semua program penentangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) bersama gagasan pembangkang yang lain.

Sebagai permulaan, Ahmad Zahid bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan berkongsi pentas dalam kempen penentangan ICERD di Pasir Salak, 17 November ini.

“MKT bersetuju ICERD tidak boleh diterima kerana bertentangan dengan Perlembagaan negara,” katanya.

Beliau juga berkata, MKT turut membincangkan tindakan agensi penarafan antarabangsa, Moody’s yang menurunkan penilaian Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) kepada negatif berbanding stabil sebelum ini.

“Kami amat sedih dengan perkara ini yang mana dana simpanan PETRONAS digunakan untuk menampung defisit belanjawan RM30 bilion. Tahun lalu, jumlah dividen PETRONAS adalah RM20 bilion.

“Ini dikhuatiri akan mengurangkan dana simpanan yang diperoleh dari syarikat itu,” katanya.

Ahmad Zahid Hamidi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.