Melaka bentang Belanjawan 2019 babit peruntukan RM382.23 juta

Berita Harian - - ISU -

Ayer Keroh: Kerajaan Melaka semalam membentangkan Belanjawan 2019 membabitkan peruntukan RM382.23 juta dengan lebihan RM2.06 juta.

Ini belanjawan lebihan kali ke-15 berturut-turut dicatatkan kerajaan negeri sejak 2005.

Belanjawan yang dibentangkan Ketua Menteri, Adly Zahari itu menganggarkan hasil negeri sebanyak RM384.29 juta.

Bertemakan ‘Mengembalikan Kewibawaan Melaka Ke Arah Mensejahterakan Rakyat, Belanjawan 2019 Melaka itu turut menyaksikan peningkatan peruntukan kira-kira 2.76 peratus, berbanding belanjawan tahun ini berjumlah RM373.95 juta.

Daripada perbelanjaan mengurus itu, RM106.07 juta diperuntukkan untuk bayaran emolumen bagi pegawai tetap, perkhidmatan dan bekalan (RM161.68 juta) dan pembelian aset berjumlah RM3.26 juta.

Usaha perkukuh sumber kewangan

“Belanjawan Melaka 2019 menunjukkan kerajaan terus berusaha memperkukuh sumber kewangan negeri dengan meningkatkan kutipan hasil, di samping menanam sifat berbelanja secara berhemat,” katanya dalam pembentangan belanjawan di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Seri Negeri di sini.

Adly berkata, kerajaan negeri akan mengambil pendekatan proaktif dengan memperkenalkan pelaksanaan perbelanjaan berhemah dalam Belanjawan 2019.

Antaranya, setiap jabatan perlu berbelanja berdasarkan peruntukan yang diluluskan serta mengikut keperluan, semua agensi kerajaan negeri perlu berusaha untuk ‘self-finance’ semua jabatan dan agensi kerajaan negeri perlu mengoptimumkan penggunaan bangunan kerajaan bagi mengurangkan perbelanjaan sewaan dan pengubahsuaian pejabat, selain melaksanakan inisiatif teknologi hijau bagi mengurangkan perbelanjaan utiliti seperti air dan elektrik.

Turut ditekankan, adalah menggunakan pendekatan lebih terkini dan menjimatkan dalam promosi misi perdagangan, pelaburan dan promosi pelancongan seperti di laman sesawang dan media sosial.

Adly berkata belanjawan itu digubal berlandaskan tiga strategi utama iaitu merangsang ekonomi negeri bagi memperkukuh kualiti hidup rakyat, meneruskan agenda sosial serta pembangunan negeri dan memperkasa pembangunan modal insan.

Beliau juga mengumumkan bayaran khas RM500 kepada lebih 4,000 penjawat awam negeri yang akan dilunaskan awal bulan depan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.