UMP Sasar universiti Terunggul

Memastikan pembentukan kurikulum akademik lebih inovatif

Berita Harian - - ISU - Oleh Abdul Razak Raaff dan T N Alagesh

̌

Kebolehpasaran graduan lepasan Universiti Malaysia Pahang (UMP) melepasi 96 peratus dan tenaga akademiknya menghasilkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berimpak tinggi, akan membantu menjadikan universiti teknikal antara terbaik di rantau Asia.

UMP juga sedang memastikan pembentukan kurikulum akademik lebih inovatif, menerusi sokongan staf yang kompeten dan profesional serta menjadikan infrastruktur akademik lebih efisyen dengan berorientasikan keperluan industri dan masyarakat.

Naib Canselor UMP, Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim, berkata pihaknya sentiasa menambah nilai program akademik melalui proses penanda aras secara berterusan menggunakan model bertaraf dunia menerusi Program Dwi Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Automotif dan Kejuruteraan Mekatronik dengan Karlsruhe University of Applied Sciences (HSKA) Jerman yang kini masuk tahun ketujuh dan dilanjutkan dengan pelaksanaan program dwi sarjana dengan universiti yang sama.

“Program ini juga diperluas dengan kerjasama Reutlingen University, Jerman dalam menawarkan program kerjasama Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan bagi menjalinkan hubungan kerjasama akademik dalam program kejuruteraan bertaraf dunia.

“Terkini, program Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan di Fakulti Pengurusan Industri iaitu program dwi ijazah secara usaha sama itu mendapat pengiktirafan dan akreditasi daripada badan profesional antarabangsa, The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) yang berpangkalan di United Kingdom ke atas subjek dan program yang ditawarkan dalam menentukan kualiti akademik di UMP.

“Pengantarabangsaan UMP dalam membina jaringan kerjasama akademik yang kukuh dengan Jerman mampu melahirkan graduan berdaya saing dan glokal. UMP akan terus meneroka idea baharu untuk memperkasa bidang pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan bertaraf dunia dalam ekosistem kejuruteraan dan teknologi dengan lebih inovatif yang dapat memanfaatkan masyarakat di negara ini,” katanya di sini, hari ini.

Kejuruteraan automotif

Dalam menyahut seruan kerajaan untuk memperkasa ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Daing Nasir berkata, UMP bakal menawarkan program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Btech.) berkaitan kejuruteraan automotif yang mensasarkan lepasan kolej vokasional, politeknik dan institusi latihan kemahiran lain mulai tahun hadapan.

“Dalam memperkukuh kerjasama dalam teknologi pintar IR 4.0, UMP turut menjalin kerjasama dengan Pusat Kecemerlangan Asia bagi Teknologi Pintar (ACES) Wilayah Ekonomi Pantai Timur berkaitan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), teknologi pintar dan inisiatif digital membabitkan aktiviti pembangunan sumber manusia di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan juga Asia.

“Pada masa sama, UMP menjadi universiti awam pertama di negara ini yang menerima geran industri dengan syarikat HP Malaysia Manufacturing Sdn Bhd untuk meningkatkan kecekapan pekerja melalui pembangunan teknologi berteraskan elemen IR 4.0 iaitu kepintaran buatan, storan awam dan sistem automatik. Prototaip produk ini dibangunkan bersama di makmal Innovative Manufacturing, Mechatronics and Sports Laboratory (IMAMS), Fakulti Kejuruteraan Pembuatan UMP dan di makmal HP Manufacturing Malaysia.

“Pada tahun ini, universiti juga mengembangkan capaian sejagat (global presence) melalui jaringan kerjasama akademik dengan pelbagai institusi pendidikan tinggi luar negara termasuk Telkom University dan Universitas Andalas di Republik Indonesia; Northern University dan Manarat International University di Bangladesh; GRG School of Management Studies di India; National College of Automotive Technology di Oman; dan Hassan II University of Casablanca di Maghribi,” katanya.

Sementara itu, Daing Nasir berkata, UMP adalah universiti pertama dalam kalangan universiti teknikal (MTUN) berjaya berada pada kedudukan 188 terbaik di Asia dalam QS University Ranking Asia: 2019 serta memperoleh penilaian lima bintang untuk kriteria Pengajaran dan Pembelajaran dalam Sistem Penilaian Quacquarelli Symonds (QS) Stars Rating 2018 pada pertengahan tahun ini.

Projek penyelidikan

Malah, katanya, QS juga menyenaraikan subjek Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan di UMP dalam kelompok 251-300 terbaik di dunia. Ini turut dibuktikan dengan pencapaian lima bintang dalam semua aspek penarafan termasuk Penilaian Penyelidikan Malaysia (MYRA), Sistem Penarafan Universiti dan Kolej Universiti (SETARA), Penarafan Pengumpulan Data Kementerian Pendidikan (Mymohes) dan Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti Jabatan Audit Negara.

“UMP juga berjaya meningkatkan pembiayaan projek penyelidikan melalui geran antarabangsa antaranya kolaborasi penyelidikan dengan Ajmal Perfumes Manufacturing and Oudh Processing Industry L.L.C., di India bagi produk gaharu. Kolaborasi

Prof Dr Daing (depan, lima dari kanan) dan Presiden Asahitechno Co. Ltd, Shigeyoshi Takahashi bersalaman selepas menandatangani MOU mengurangkan masalah berkaitan banjir.

Penyelidikan UMP Dr. Norashikin Mat Zain (dua dari kanan) menghasilkan Produk KINORA natural lip balm.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.