Program PSH UMP bekalkan kemahiran modal insan

Berita Harian - - ISU -

Kuantan: Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) wajar diberi penekanan dalam mendepani peredaran zaman sekali gus membantu membekalkan kemahiran modal insan ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced, Dr. Mohamad Rozi Hassan, berkata PSH dapat memenuhi keperluan individu dan guna tenaga di samping mewujudkan warganegara yang aktif dan kesaksamaan sosial.

Beliau berkata, ia adalah agenda penting kerajaan bagi melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing menerusi Pelan Induk Pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat Peringkat Nasional 2011-2020 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) 2015-2025.

Katanya, UMP menerusi UMP Advanced Education komited untuk memperkasa penawaran programprogram Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dan Program Pembangunan Sosioekonomi Veteran (PPSEV) kepada pelbagai segmen sasaran dan akan diperluaskan lagi kepada bakal-bakal veteran tentera dengan kerjasama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Anggota Tentera (PERHEBAT) yang akan menjadikan UMP sebagai kampus satelitnya.

Pembelajaran dalam talian

“Kumpulan sasar lain PSH ialah lepasan sekolah, golongan dewasa yang bekerja, suri rumah dan warga emas yang mahu memberi sumbangan kepada negara, menambah baik diri dan mempelbagaikan kemahiran.

“Kepelbagaian dalam pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran khususnya dapat memberi tarikan kepada warga industri untuk menyertai program PSH di samping dapat meluaskan akses pendidikan dan membolehkan pembelajaran disesuaikan mengikut keperluan semasa pelajar,” katanya.

Mohamad Rozi berkata, UMP Advanced juga mula mengorak langkah dengan membangunkan sistem pembelajaran dalam talian bagi program profesional/eksekutif dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti, menyediakan penyampaian kursus yang cekap, membina jenama pendidikan PSH dan seterusnya meluaskan pasaran program ke peringkat antarabangsa pada masa hadapan.

Beliau berkata, mod penawaran program yang ditawarkan oleh UMP Advanced juga dipelbagaikan iaitu pendidikan jarak jauh, e-pembelajaran, pembelajaran separuh masa, pembelajaran secara modular dan pembelajaran di tempat kerja.

“UMP Advanced juga dalam usaha pembudayaan dan pemerkasaan PSH yang diterjemahkan dalam pelbagai produk penawaran program secara separuh masa atau eksekutif untuk warga kerja industri.

“Usaha ini dilihat berdasarkan strategi ‘Triple Track Approach’ oleh UMP Advanced iaitu merangkumi pelaksanaan program profesional/ eksekutif, program perdana dan program pembangunan sosioekonomi.

“Program profesional atau eksekutif mensasarkan golongan industri yang dijalankan secara hujung minggu dan dijalankan secara modular. Program ini direka khas mengikut keperluan industri berdasarkan beberapa bidang yang mendapat permintaan tinggi seperti bidang petroleum dan gas, pembuatan, perladangan, logistik dan elektrikal,” katanya.

Bagi pelaksanaan program perdana pula, beliau berkata, ia ditawarkan di peringkat Ijazah Sarjana Muda yang dijalankan secara hujung minggu di Kampus UMP dan IKTBN Sepang.

Penawaran secara fleksibel ini, katanya, memberi peluang kepada kumpulan sasar untuk meningkatkan tahap pendidikan lebih tinggi dan sesuai dengan ruang masa bagi yang sedang bekerja.

“Golongan bekerjaya di sektor industri perlu merebut peluang menyambung pengajian ke programprogram yang memberikan nilai tambah kepada ilmu yang dipelajari di UMP. Keperluan meningkatkan sijil akademik dalam bidang-bidang tertentu yang memerlukan kepakaran spesifik menuntut penjelajahan ilmu kemahiran tinggi ini tanpa henti,” katanya. Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced hasil program kerjasama antara UMP dan Reutlingen University, Jerman yang bergraduasi dalam Majlis Konvokesyen UMP.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.