Maszlee setuju letak jawatan Presiden UIAM

Proses tak berkuat kuasa serta-merta, perlu dapat persetujuan PM, Sultan Pahang

Berita Harian - - ISU - Oleh Siti Nur Mas Erah Amran dan Veena Babulal

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, bersetuju untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Bagaimanapun, peletakan jawatan beliau tidak akan berkuat kuasa dengan serta-merta kerana beberapa isu berkaitan perlu diselesaikan terlebih dahulu termasuk mencari pengganti yang bakal memegang jawatan terbabit.

Rela hati buat keputusan

Seorang pegawai khasnya berkata, tidak wujud elemen ‘keterpaksaan’ untuk menteri itu meletakkan jawatan seperti yang digembar-gemburkan, sebaliknya Maszlee membuat keputusan itu dengan rela hati.

“Takkanlah Kabinet akan buat keputusan mendadak tanpa mengambil kira kemaslahatan universiti.

“Ada perbincangan yang berlangsung dan persetujuan berjaya dicapai melaluinya.

“Bagaimanapun, proses peletakan jawatan berkenaan masih berjalan kerana beliau memerlukan persetujuan daripada Perdana Menteri dan Sultan Pahang,” katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.

Jalan tugas seperti biasa

Sementara itu, Maszlee dijangka menjalankan tugas seperti biasa dan akan menghadiri Majlis Konvokesyen UIAM Ke-34 yang bermula hari ini di kampus Gombak.

Pelantikan Maszlee sebagai Presiden UIAM ketujuh pada September lalu mencetuskan kontroversi sebelum ini apabila ada kumpulan penuntut membantah dengan alasan tidak mahu campur tangan orang politik dalam universiti seperti dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, ketika itu Maszlee mempertahankan pelantikan berkenaan kerana ia dipersetujui Kabinet dan diberi perkenan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah.

Malah, siri bantahan itu juga menyaksikan ketegangan ketika pertemuan Maszlee dan kumpulan penuntut bagi membincangkan perkara itu.

Keratan akhbar BH pada 6 dan 13 September lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.