Beras gred rendah guna kampit bermutu tinggi

Premis jual produk gred paling rendah dibungkus semula

Berita Harian - - ISU - Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur merampas 574 kampit beras gred rendah, menggunakan tanda niaga palsu jenama terkenal dalam serbuan di Batu Caves dekat sini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri (KPPN), Low Swee Hon, berkata bertindak atas maklumat, empat pegawai KPDNHEP membuat serbuan di sebuah premis di Pusat Bandar Utara Selayang, Batu Caves, pada jam 12.30 tengah hari, kelmarin.

Beras dirampas dipercayai menggunakan kualiti gred paling rendah, berbanding gred beras asli digunakan jenama berkenaan.

Jual pada harga runcit

Ia kemudian dibungkus semula mirip produk asli seberat 10 kilogram (kg) setiap satu dan dijual pada harga runcit sama seperti jenama berkenaan.

Swee Hon berkata, serbuan turut disertai pemilik cap dagangan jenama beras berkenaan, yang mengenal pasti beras menggunakan jenama diciplak.

“Hasil pemeriksaan, premis itu di dapati menjual dan mengedar beras menggunakan cap dagangan palsu.

“Sebanyak 574 kampit beras seberat 10kg setiap satu disahkan tiruan oleh wakil cap dagangan jenama berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, wakil syarikat berkenaan mengenal pasti pek pembungkusan digunakan tiruan, manakala beras berkenaan berkualiti rendah, berbeza yang dijual mereka.

Katanya, beras dianggar bernilai RM14,924 itu disita KPDNHEP.

“Kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan kita masih menyiasat sama ada ia turut dijual di premis lain, sekitar Lembah Klang.

“KPDNHEP Kuala Lumpur giat mengenal pasti sama ada beras tiruan berkenaan dibungkus dalam negara atau diseludup masuk dari negara jiran,” katanya.

[FOTO IHSAN KPDNHEP]

Anggota KPDNHEP memeriksa beras menggunakan jenama palsu Bandar Utara Selayang, Batu Caves, kelmarin. yang dirampas di Pusat

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.