Pelajar cemerlang kecewa tidak dibenar ambil SPM

Berita Harian - - ISU -

Parit Buntar: Status pelajar cemerlang tidak menjamin masa depan seorang pelajar, yang berkemungkinan gagal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu depan.

Pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Bukit Gantang, Nurul Syuhada Abdul Nasir Idris, 17, tidak memiliki kad pengenalan berikutan ibu bapa kandungnya berasal dari Kemboja.

Keadaan itu menyebabkan pelajar berkenaan memegang status ‘tiada kewarganegaraan.’

Nurul Syuhada runsing apabila pihak sekolah memaklumkan dia tidak dibenarkan menduduki SPM berikutan masalah itu.

Masa depan

“Saya merayu untuk mendapatkan peluang pendidikan sempurna, kerana ia penting menentukan masa depan lebih cerah,” katanya ketika ditemui di Taman Kerian Permai di sini, semalam.

Nurul Syuhada berkata, ketiadaan kad pengenalan turut menyukarkan urusan hariannya seperti perbankan.

Dilahirkan di negara ini, beliau dipelihara keluarga angkat warga tempatan sejak kecil, manakala ibu bapa kandungnya sudah lama pulang ke negara asal.

Wakil keluarga angkat pelajar itu, Mohd Khalid Fatharuddin, 58, berharap Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, dapat membantu mempercepatkan rayuan kelulusan Nurul Syuhada mendapatkan kewarganegaraan sebelum SPM bermula.

Katanya, rayuan Nurul Syuhada pertama kali dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak pada 2013, diikuti tiga tahun kemudian namun gagal.

Pelajar cemerlang

“Kami harap dia dapat menduduki SPM kerana berpotensi mendapat keputusan cemerlang. Nurul Syuhada tidak memiliki taraf kewarganegaraan negara asal kelahiran ibu bapanya dan sukar memohon kerana terputus hubungan dengan mereka,” katanya.

Mohd Khalid berkata, Nurul Syuhada memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), diikuti keputusan 8A, 1B dan 1C dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan 6A dalam ujian percubaan SPM baru-baru ini.

Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak, ketika ditemui mengesahkan aduan kes Nurul Syuhada diterima September lalu dan sudah dikemukakan kepada KDN dan Kementerian Pendidikan.

“Dalam surat maklum balas KDN bertarikh 11 Oktober lalu, kementerian itu memaklumkan kes Nurul Syuhada akan diteliti dan diberi pertimbangan mengikut prosedur sedia ada. Kami harap ia dibuat secepat mungkin,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.