Farid Kamil akan dipanggil beri keterangan: Polis

Berita Harian - - ISU -

Shah Alam: Pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari, akan dipanggil berhubung laporan polis mengaitkannya dengan dakwaan pernah disogok wang RM5 juta oleh kerajaan terdahulu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata pelakon itu akan dipanggil dalam masa terdekat bagi diambil keterangan.

Katanya, satu laporan diterima di Balai Polis Kota Damansara kelmarin, daripada seorang lelaki berusia 43 tahun yang menjadi wakil Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam.

Cuba cemar imej Najib

“Laporan itu mendakwa Farid sengaja mengada-adakan cerita, untuk menjatuhkan imej Perdana Menteri ketika itu (Datuk Seri Najib Razak).

“Malah, pengadu mempersoalkan jika dakwaan Farid itu benar, mengapa tidak dilapor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Beliau ditemui selepas program Media Talk Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di pejabatnya di sini, semalam.

Fadzil berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana melakukan tohmahan atau fitnah.

Dalam rakaman video yang dimuat naik di Youtube Myfokus Online menerusi program sebuah rangkaian televisyen jam 10 malam baru-baru ini, Farid mendakwa cuba dirasuah RM5 juta oleh kerajaan terdahulu.

Susulan itu, Lokman meminta polis menyiasat perkara berkenaan kerana disifatkan membuat dakwaan palsu, selain mahu menghina Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.