Belanjawan 2019 kukuh KL sebagai hab MNC

Berita Harian - - BISNES -

Cadangan dalam Bajet 2019 akan mengukuhkan lagi kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab perniagaan, inovasi dan sumber bakat bagi perusahaan multinasional gergasi (MNC), kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Investkl, Datuk Zainal Amanshah.

Langkah yang dicadangkan dilihat akan membantu menarik pelaburan langsung asing, termasuk peruntukan berjumlah RM210 juta bagi menggalakkan peralihan ke arah Industri 4.0 (IR 4.0) serta rancangan untuk meningkatkan kemahiran graduan tempatan, katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Greater Kuala Lumpur telah menjadi lokasi yang sesuai, menempatkan banyak MNC dengan teknologi IR 4.0 yang akan mempromosi serta menarik lebih banyak syarikat multinasional untuk menggunakan kawasan ini bagi mengasaskan perniagaan mereka sehingga menukarkan kota ini kepada hab inovasi digital serantau.

Transformasi digital

Sementara itu, CEO Hitachi Sunway Information System Group, Cheah Kok Hoong, meramalkan peningkatan penggunaan IR 4.0 akan membawa kepada pertambahan permintaan bagi pengurusan penyelesaian keselamatan siber, perkhidmatan pusat data dan pengurusan kitaran hayat produk.

“Malaysia sedang dalam laluan bagi memperkukuhkan dirinya sendiri. Kami yakin transformasi digital seperti Internet untuk Pelbagai Perkara dan Kecerdasan Buatan akan penjadi pemacu pemboleh pertumbuhan negara.

“Oleh itu, dengan pengenalan beberapa insentif cukai, ini akan mempercepatkan penggunaan IR 4.0,” katanya lagi.

Pengarah Urusan bagi sebuah syarikat perkhidmatan perubatan, International SOS (M) Sdn Bhd, David Ng berkata perkara utama yang diberi perhatian dalam Bajet 2019 adalah mengenai penjagaan kesihatan serta pendidikan, dengan peruntukan yang dicadangkan sebanyak RM29 bilion dan RM60 bilion, masing-masing bagi setiap sektor.

“Kami juga gembira dengan perubahan positif dalam insentif hab utama. Adalah dicadangkan bahawa syarikat-syarikat tersebut layak untuk kadar cukai pendapatan 10 peratus secara konsensi pada pendapatan berkanun secara keseluruhan bagi tempoh lima tahun.

“Cadangan ini akan menggalakkan syarikat-syarikat seperti kami dengan status hab utama untuk menambah pelaburan kami,” kata Ng.

Zainal Amanshah

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.