Kadar pengangguran September susut 0.1 peratus

Berita Harian - - BISNES -

pengangguran pada September 2018 turun 0.1 peratus kepada 3.3 peratus berbanding 3.4 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu, demikian menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pada September, bilangan penganggur seramai 516,400, menurun 8,600 berbanding 525,000 pada bulan sebelumnya.

Beliau berkata, bagi penyertaan tenaga buruh pada September 2018 pula, kadarnya naik 0.1 mata peratus kepada 68.5 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Jelasnya, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh meningkat 0.6 mata peratus kepada 67.9 peratus pada September 2018.

Jumlah penduduk bekerja meningkat

Mohd Uzir berkata, bilangan tenaga buruh pada September 2018 meningkat 2.6 peratus kepada 15.44 juta berbanding 15.06 juta pada September 2017.

“Dalam tempoh sama, jumlah penduduk bekerja turut meningkat kepada 14.93 juta berbanding 14.54 juta pada September 2017,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Mohd Uzir berkata, Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) meningkat 2.3 peratus pada September 2018 berbanding bulan sama sebelumnya.

Beliau berkata, peningkatan pada bulan berkenaan disokong oleh pertumbuhan dalam indeks pembuatan (4.8 peratus) dan indeks elektrik (4.2 peratus), manakala indeks perlombongan mencatatkan penyusutan 6.2 peratus.

Katanya, output sektor pembuatan meningkat sebanyak 4.8 peratus pada September selepas mencatatkan pertumbuhan 4.3 peratus pada Ogos, dipacu oleh subsektor utama seperti produk peralatan elektrik dan elektronik (5.5 peratus); produk petroleum, kimia, getah dan plastik (3.8 peratus) serta produk makanan, minuman dan tembakau (6.9 peratus).

“Output elektrik meningkat 4.2 peratus pada September selepas mencatatkan peningkatan sebanyak 4.0 peratus pada Ogos,” katanya.

Sementara itu, output sektor perlombongan mencatatkan penyusutan 6.2 peratus pada September berbanding tempoh sama tahun lalu, disebabkan kejatuhan dalam indeks gas asli (-6.2 peratus) dan indeks minyak mentah (-6.3 peratus).

Mohd Uzir Mahidin

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.