Rawang kawasan ‘panas’ tumpuan pembangunan

Akses semakin baik, banyak infrastruktur jadikan bandar ideal untuk kediaman

Berita Harian - - HARTANAH - Oleh Nasuha Badrul Huzaini

Bandar Rawang yang terletak di Selangor suatu masa dulu dikenali sebagai satu daripada bandar satelit terawal di Kuala Lumpur dengan ekonomi utamanya dijana oleh industri perlombongan timah.

Selepas beberapa dekad berlalu, ia mula meraih populariti dan sehingga kini, populasinya sudah mencecah hampir 200,000 penduduk.

Dalam sektor hartanah, pembeli sering mempunyai tanggapan bahawa Rawang adalah satu lokasi yang jauh dan tidak memberikan keselesaan dalam perjalanan.

Ia terletak kira-kira 30 kilometer hingga 35 kilometer daripada pusat bandar Kuala Lumpur, bergantung kepada pilihan jalan yang dilalui.

Bagaimanapun, dengan akses yang semakin baik dan penyediaan lebih banyak infrastruktur di bandar berkenaan, Rawang kini secara perlahanlahan membina namanya sebagai satu lokasi yang ideal untuk kediaman.

Penuhi keperluan

Memandangkan populasi di Rawang kini semakin meningkat, ia memerlukan kemudahan awam, sumber dan aktiviti ekonomi yang lebih baik kerana ia penting untuk mengekalkan pembangunan yang semakin berkembang dan memenuhi keperluan penduduknya.

Mengulas mengenai potensi bandar berkenaan, Ketua Eksekutif Mah Sing Group Bhd (Mah Sing), Datuk Ho Hon Sang, berkata Rawang kini dikelilingi oleh kawasan kejiranan yang sudah matang.

“Ia merangkumi kawasan kediaman yang sedia ada dengan akses mudah ke lokasi kemudahan awam seperti sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah antarabangsa, pusat beli-belah dan juga pasar raya besar.

“Malah, kewujudan beberapa kemudahan seperti kompleks beli-belah dan sekolah antarabangsa juga memberi petunjuk bahawa sudah terdapat potensi sedia ada di kawasan berkenaan yang boleh menarik pelaburan masuk ke sana.

“Penambahbaikan yang berlaku dalam aspek sambungan menjadi satu daripada sebab mengapa Rawang kini menjadi tumpuan untuk tinggal, terutama bagi mereka yang bekerja di Kuala Lumpur,” katanya baru-baru ini.

Pemodenan berterusan

Pada masa ini, Mah Sing memiliki tanah seluas 194 hektar di Rawang yang merangkumi tiga perbandaran iaitu M Residence 1, M Residence 2 yang habis dijual sepenuhnya serta yang terbaharu, M Aruna.

Hon Sang berkata, pada 2011 pihaknya menjangkakan dengan pemodenan berterusan di Kuala Lumpur, penggunaan tanah kediaman akan ‘melimpah’ ke kawasan pinggir bandar, termasuk Rawang.

“Dengan potensi yang ada, saya yakin Rawang kini berada di atas landasan yang betul untuk menjadi satu daripada kawasan ‘panas’ bagi pemilikan hartanah pada masa hadapan,” katanya.

Ho Hon Sang, Ketua Eksekutif Mah Sing Group

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.