Zamani sumber inspirasi Zynakal

Rahsia pertalian darah elak dikatakan tumpang populariti bapa saudara

Berita Harian - - B*POP - Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

Trajamawar@bh.com.my

idak ramai yang menyedari hubungan rapat antara bakat baharu, Zynakal, 20, dan penyanyi legenda, Zamani.

Bukan mahu berselindung, sebaliknya penyanyi yang baru muncul dengan single pertama, Terbang bimbang dianggap cuba menumpang populariti bapa saudaranya itu.

Zynakal bagaimanapun, tidak menafikan Zamani yang juga adik bongsu ibunya, Zuraidah Ibrahim antara insan yang sentiasa memberi sokongan padu apabila dia menunjukkan minat terhadap bidang nyanyian.

Bagi pemilik nama lengkap, Muhammad Raziq Rosli itu, seboleh mungkin dia mahu dikenali atas nama dan bakatnya sendiri.

“Disebabkan itu, saya cuba tidak mendedahkan perkara ini kerana bimbang dikatakan mahu menumpang nama Pak Su (Zamani).

“Sebelum ini, Pak Su juga berahsia mengenai pertalian antara kami, tetapi sampai bila mahu berselindung? Lambat-laun perkara itu terbongkar juga.

“Saya mahu dikenali kerana bakat sendiri, bukan kerana saya anak saudara Zamani. Sejujurnya, saya bangga menjadi anak saudara penyanyi bertaraf legenda sepertinya.

“Pak Su juga sering memberi inspirasi supaya saya serius mengikut jejaknya dalam bidang seni,” kata anak tunggal itu.

Kagumi sifat rendah diri Zamani

Zynakal berkata, sejak kecil, dia sering menemani bapa saudaranya itu membuat persembahan memandangkan mereka tinggal sebumbung.

“Pak Su menjadi pendorong utama saya untuk mendalami bidang muzik. Minat yang mendalam itu membawa saya ke Sekolah Seni Malaysia di Johor Bahru sejak

Tingkatan Satu,” katanya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, biar apa juga tanggapan orang luar terhadap bapa saudaranya, hanya dia dan keluarga yang mengenali hati budi Zamani.

“Saya melihat suka dan duka kehidupan Pak Su, malah dia menjadi tempat menumpang kasih memandangkan saya kehilangan bapa sejak kecil.

“Pak Su sering berpesan apabila disanjung, jangan sesekali berlagak dan sombong. Dia mahu saya mengikut resmi padi, semakin berisi semakin menunduk ke bumi,” katanya.

Zynakal berkata, ketika orang ramai memandang kehebatan suara bapa saudaranya, dia pula mengagumi Zamani dari sudut berbeza.

Katanya, meskipun dianggap ramai sebagai penyanyi legenda, Zamani sentiasa merendah diri, tidak lupa asal usul dan menghormati orang lain.

“Keikhlasan hatinya menyebabkan dia disayangi ramai. Itu yang saya lihat, malah saya juga ingin mencontohi sikap positif yang sering ditunjukkan

Pak Su,” katanya.

Video muzik dapat sambutan

Penyanyi yang bernaung di bawah syarikat rakaman, Virtuosity Production Sdn

Bhd itu bersyukur video muzik lagu Terbang sudah ditonton lebih dua juta pelayar sejak dilancarkan pertengahan September lalu.

Lagu dan lirik ciptaan Zynakal itu dihasilkan pada 2016.

“Saya tidak terfikir lagu ini akan diterbitkan kerana ia pada mulanya dihasilkan hanya menggunakan aplikasi, Garageband di telefon bimbit.

“Apabila ada idea, saya siapkan sedikit demi sedikit. Tidak sangka, lagu ini menjadi pilihan apabila saya dan syarikat rakaman berbincang mengenai single pertama.

“Terbang mempunyai maksud yang mendalam mengenai kehidupan kerana pada akhirnya, setiap kita akan menuju destinasi yang sama iaitu kematian,” katanya yang sering memasuki pertandingan nasyid sejak sekolah rendah.

Foto Mahadzir Mat Isa

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.