Pemandu lori derita kencing manis kronik

Penyakit mula serang bahagian saraf punca Hanafi tak mampu sara isteri, 5 anak

Berita Harian - - MASYARAKAT - Oleh Muhamaad Razis Ismail

Penderitaan akibat kencing manis kronik sejak tiga tahun lalu menyebabkan seorang pemandu lori kini tidak lagi mampu menyara keluarganya.

Hanafi Yusof, 54, terpaksa berjalan menggunakan tongkat berikutan penyakit kencing manis itu.

Lebih menyedihkan, pada masa sama, Hanafi terpaksa menahan kesakitan akibat bisul di belakang badan dan tengkuk.

Hanafi berkata, berikutan penyakit itu, dia tidak lagi mampu bekerja untuk menyara isteri dan lima anak yang masih kecil.

Katanya, dia tidak lagi mampu melakukan kerja berat berikutan penyakitnya itu mula menyerang bahagian saraf.

Dia tidak mampu untuk bergerak seperti biasa dan hanya boleh berjalan dengan tongkat.

Bisul makin membesar

“Bisul belakang badan dan tengkuk juga semakin membesar dan bernanah,” katanya di Kampung Lubok Jambu, Kedai Mulong, di sini, kelmarin.

Terdahulu, Hanafi menerima kunjungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kru Amal Persatuan Permotoran Negeri Kelantan dan Info Semasa Kubang Kerian (ISKK) yang menghulurkan sumbangan wang dan barang keperluan.

Hanafi berkata, dia hanya bergantung kepada isterinya yang mencari nafkah menyara keluarga sebagai pengawal keselamatan.

“Pada masa sama, isteri juga perlu menguruskannya di rumah dan mendapat rawatan hospital.

“Biarpun mendapat bantuan RM300 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ia hanya mampu untuk membayar sewa rumah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Permotoran Kelantan, Wan Azli Wan Muhammad, berkata pihaknya terpanggil untuk membantu meringankan beban keluarga ini.

“Kita difahamkan, anaknya masih bersekolah. Harapan kita ia dapat ringankan beban mereka sekeluarga.

“Pada masa sama, kita turut harap pihak lain dapat tampil membantu,” katanya

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0310629000171908 atas nama Hanafi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.