Ibu bantu murid kuasai kemahiran literasi

Berita Harian - - PENDIDIKAN -

Kuala Lumpur: Pembabitan kumpulan Ibu Penyayang berjaya membantu meningkatkan penguasaan kemahiran asas literasi murid di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kuen Cheng 2, terutama bagi mereka yang lemah dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Penyelaras Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) Linus SJK (C) Kuen Cheng 2, Michelle Lee, berkata pendekatan bimbingan secara individu itu sedikit sebanyak membantu mengurangkan bebanan guru untuk fokus kepada murid yang lemah.

Beliau berkata, seramai 34 ibu terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya masing-masing berperanan sebagai pembimbing kepada murid Tahun Satu hingga Tahun Tiga yang lemah dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Peningkatan akademik

“Kami memperuntukkan masa selama 30 minit sebelum dan selepas tamat waktu sekolah pada setiap hari Selasa hingga Jumaat bagi membimbing murid berkenaan untuk menguasai kedua-dua bahasa berkenaan dengan lebih baik.

“Kumpulan ini sudah aktif sejak 2012, dan bagi saya sendiri sejak terbabit dalam kumpulan ini empat tahun lalu, sememangnya terdapat peningkatan dan perubahan dalam keputusan akademik murid,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah program Linus 2.0 di sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Terdahulu hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah berkenaan ialah Ketua Penolong Pengarah Bahasa Inggeris Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Noorhana Hashim.

Yang turut hadir ialah Guru Besar SJK (C) Kuen Cheng 2, Yap Bee Lai.

Sementara itu, Noorhana berkata, usaha kumpulan Ibu Penyayang itu harus menjadi contoh kepada sekolah lain dalam usaha membantu murid lemah dalam menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi.

Katanya, SJKC Kuen Cheng 2 berjaya membentuk budaya kerja yang sangat baik apabila berjaya menjalinkan kolaborasi hebat dengan semua pihak termasuk ibu bapa murid.

“Usaha ini amat baik dan diharapkan dapat diteruskan demi menjamin kecemerlangan murid khususnya dalam bidang akademik,” katanya.

[FOTO NIK HARIFF HASSAN/BH]

Noorhana dan Bee Lai bersama-sama kumpulan Ibu Penyayang serta murid pada majlis penyampaian hadiah program Linus 2.0 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.