Buruh dituduh liwat lelaki dalam sel

Berita Harian - - MAHKAMAH -

Butterworth: Buruh lelaki yang juga penagih dadah didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini semalam kerana meliwat seorang lelaki berusia 22 tahun pada 25 Oktober lalu.

Tertuduh, M Nadarajan, 47, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohammad Yunus.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Nadarajan ditahan reman bersama mangsa di dalam sel yang sama bagi siasatan kes berkaitan penagihan dadah di pusat berkenaan.

Nadarajan didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.05 pagi pada 25 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa dengan sengaja telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan seorang lelaki berusia 22 tahun tanpa kerelaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sel C2, Pusat Tahanan Reman Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamaliza Md Zain, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiam membenarkan ikat jamin RM15,000 ke atas tertuduh manakala 6 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.