Kes Sivarasa saman Tengku Adnan selesai cara baik

Berita Harian - - MAHKAMAH -

Kuala Lumpur: Kes saman fitnah Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa terhadap Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor diselesaikan secara baik semalam.

Kes saman itu selesai selepas Tengku Adnan yang dinamakan selaku defendan menarik balik kenyataannya dikeluarkan pada 1 Jun tahun lalu, yang menjadi asas dalam tuntutan saman itu.

Peguam Latheefa Koya mewakili Sivarasa ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, berkata Pesuruhjaya Kehakiman Wan Ahmad Farid Wan Salleh merekodkan penghakiman persetujuan.

Tarik balik kenyataan

Latheefa berkata, berikutan penarikan balik kenyataan oleh Tengku Adnan itu, anak guamnya menarik balik saman terbabit.

Katanya, Sivarasa tidak berhasrat untuk memanjangkan isu itu lagi.

Mengikut penghakiman persetujuan itu, Sivarasa menarik balik saman berkenaan tanpa perintah berhubung kos.

Melalui prosiding di kamar pesuruhjaya kehakiman itu, Datuk S Peguam Satharuban bertindak bagi pihak Tengku Adnan.

Pada 13 Jun tahun lalu, Sivarasa, selaku plaintif menyaman Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya berhubung ucapannya pada program berbuka puasa di ruang parkir Masjid Jamek Alam Shah, Cheras.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan, Sivarasa mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya bermaksud beliau tidak menghormati tempat ibadat masyarakat Islam apabila berpolitik di dalam masjid dan tidak menghormati kesucian masjid atau surau di bulan Ramadan.

Sivarasa mendakwa, kenyataan fitnah itu diterbitkan semula di laman web Malaysiakini, selain turut disiarkan dalam media cetak dan media elektronik.

Plaintif juga mendakwa Tengku Adnan mempunyai pengetahuan berhubung kenyataan beliau (Sivarasa) pada 31 Mei 2017, yang menafikan menyampaikan sebarang ceramah politik dalam satu majlis di Masjid An-nur Kampung Melayu Subang pada 24 Mei 2017.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.