BUDAK LELAKI 3 TAHUN MAUT DISYAKI DIDERA

Ibu kandung, bapa tiri hilangkan diri selepas hantar mangsa ke hospital

Berita Harian - - MUKA DEPAN - Oleh Hasbi Sidek dan Siraj Mohd Zaini

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun disyaki mangsa penderaan, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Ampang dekat sini, kelmarin.

Pemeriksaan mendapati mangsa, Muhammad Khairil Akmal Abdul Rahim cedera di belakang kepala, selain ada kesan luka dan lebam pada muka serta tubuh badan.

Susulan itu, polis giat memburu ibu kandung dan bapa tirinya yang menghilangkan diri selepas menghantar mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri ke hospital kira-kira jam 12 tengah hari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata justeru pasangan terbabit, Noraini Samian, 20, dan Khairul Izaini Khairuddin yang turut dikenali sebagai ‘Boy Tiger’, 31, diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kedua-duanya menghilangkan diri dengan menaiki motosikal Yamaha 125z selepas menghantar kanak-kanak itu ke hospital,” katanya pada sidang media selepas program Media Talk Jabatan Siasatan Jenayah Selangor di pejabatnya, di sini, semalam.

Kesan luka di badan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata mangsa meninggal dunia selepas 30 minit dirawat di wad kecemasan.

“Mangsa didapati ada banyak luka dan lebam di belakang serta depan badan. Selain itu, mangsa ada luka di bawah bibir, lebam di sekeliling kedua-dua mata serta luka berbentuk bulat di kedua-dua bahagian kaki dan tangan.

“Pemeriksaan X-ray juga mendapati ada kecederaan di belakang kepalanya. Selepas 30 minit dirawat, mangsa meninggal dunia. Pegawai perubatan merawatnya membuat laporan polis berikutan kematian mangsa disyaki akibat penderaan,” katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.

Adik bapa tiri mangsa, Khairul Mustaffa Khairuddin, 30, pula berkata abangnya itu pernah menumpang di rumah ibu mereka di Ampang Saujana, sebelum pulang ke kediaman sendiri di Bukit Indah, dekat sini, beberapa hari lalu.

“Sepanjang berada di rumah ibu, bulan lalu, saya tidak pernah nampak dia naik tangan pada isteri mahupun anaknya. Namun, saya perasan muka anak saudara (mangsa) ada kesan lebam,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, katanya, beliau pernah menghubungi polis berikutan Khairul Izaini dilihat berkelakuan pelik sejak akhirakhir ini kerana sering bergaduh dengan ibu, dan abangnya itu kemudian ditahan.

“Kami sekeluarga terkejut apabila mendapat tahu perkara ini (kejadian menimpa mangsa).

Pulang, serah diri

“Saya meminta dia supaya pulang dan menyerah diri kepada polis. Jika benar dia mengalami masalah mental, biarlah dirawat pihak hospital,” katanya.

Dalam pada itu, masyarakat sekitar kediaman bapa tiri mangsa mendakwa tidak mengenali keluarga terbabit kerana mereka baru berpindah ke rumah kedai di Bukit Indah itu, beberapa minggu lalu.

Tinjauan di rumah itu juga mendapati tiada sebarang respons selepas pintunya diketuk beberapa kali.

Bagaimanapun, penduduk mendakwa pihak polis datang ke kediaman itu, semalam pada waktu tengah malam, untuk melakukan pemeriksaan.

Muhammad Khairil Akmal bersama bapa tirinya, Khairul Izaini yang menghilangkan diri selepas menghantar mangsa ke Hospital Ampang, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.