‘Nak pinjam RM10,000, kena tipu RM100,050’

Berita Harian - - JENAYAH -

Rompin: Hanya kerana mahu mendapatkan bantuan kewangan sebanyak RM10,000, seorang guru wanita di sini kerugian RM100,050 ditipu sindiket menawarkan pinjaman tidak wujud secara dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata pada 15 Oktober lalu, mangsa berusia 48 tahun melihat iklan pinjaman wang dalam laman web syarikat Ringgit Plus didakwa beroperasi di Bangsar, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, wanita itu kemudian berurusan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Vincent dan bersetuju membuat pinjaman wang sebanyak RM10,000.

“Bagaimanapun untuk mendapat pinjaman itu, mangsa dikenakan pelbagai caj, termasuk bayaran cukai, wang proses pinjaman, upah peguam, duti setem dan bayaran perkhidmatan.

“Mangsa kemudian membuat sebanyak 24 transaksi wang ke dalam lapan akaun bank diberikan suspek dari 22 Oktober hingga 5 November lalu,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.

Tak terima duit

Mohd Wazir berkata, selepas membuat semua bayaran terbabit, mangsa mula mengesyaki ditipu sindiket apabila tidak menerima wang pinjaman lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, kelmarin.

Beliau berkata, polis sudah mengambil keterangan mangsa dan mengenal pasti suspek berdasarkan nombor akaun bank digunakan untuk transaksi wang.

“Modus operandi sindiket ini ialah menawarkan pinjaman wang tidak wujud sehingga mendorong mangsa membuat bayaran dan mengalami kerugian,” katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang penolong pegawai pertanian di Kuantan kerugian RM45,450 diperdaya sindiket menyamar sebagai pegawai kastam.

Beliau berkata, dalam kejadian 29 Oktober lalu, lelaki berusia 38 tahun itu menerima panggilan daripada seorang wanita mendakwa sebagai pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Suspek memberitahu kononnya rakan mangsa bernama Eric Kyeah yang dikenali setahun lalu melalui media sosial Facebook, ditahan di pejabat kastam KLIA kerana membawa wang sebanyak AS$250,000 (RM1.04 juta).

“Mangsa diminta membuat bayaran sebanyak RM45,450 untuk melancarkan proses pembebasan kawannya itu. Justeru, mangsa membuat 12 transaksi dari 30 Oktober lalu hingga kelmarin (Rabu lalu) ke dalam dua akaun diberikan suspek,” katanya.

Beliau berkata, selepas membuat semua bayaran itu, mangsa mengesyaki sudah ditipu sindiket dan membuat laporan di IPD Kuantan, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.