NGO bantah bina hotel di puncak Bukit Bendera

Cadangan jejas usaha warta tapak simpanan biosfera warisan kepada UNESCO

Berita Harian - - WILAYAH - Oleh Muhammad Yusri Muzamir

Penang Forum membantah cadangan kerajaan negeri membangunkan dua hotel di puncak Bukit Bendera di sini, bagi memenuhi keperluan pengunjung di kawasan peranginan itu, tahun depan.

Ahli Jawatankuasanya, Khoo Salma, berkata ia berikutan bilangan pengunjung Bukit Bendera sudah mencapai tahap maksimum, sekali gus mewujudkan kebimbangan berlaku perkara tidak diingini di situ.

Katanya, cadangan itu antara lain akan menjejaskan usaha mewartakan Bukit Bendera sebagai tapak simpanan biosfera warisan kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (UNESCO).

“Kerajaan negeri perlu segera hantar permohonan kepada UNESCO kerana hanya selepas itu baru mereka sedar mengenai had pembangunan antarabangsa yang ditetapkan. Mereka perlu mengiktiraf standard ditetapkan di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan negeri juga perlu ingat punca kejatuhan bekas Ketua Menteri, mendiang Tun Dr Lim Chong Eu, pada 1990. Ketika itu, rakyat tidak mengundi beliau kerana cadangan pembinaan hotel di Bukit Bendera.

“Tambahan, terdapat hampir 200 lokasi tanah runtuh di sekitar Bukit Bendera ekoran hujan luar biasa, pada November 2017. Ini adalah petunjuk jelas bahawa tiada keperluan membina hotel di situ,” katanya.

Demonstrasi aman

Terdahulu, Salma bersama hampir 30 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar membuat demonstrasi aman bagi membantah pelbagai projek pembangunan dirangka kerajaan negeri di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Sehingga kini, Penang Forum lantang membantah beberapa projek pembangunan di lereng bukit, pelbagai cadangan tambakan laut, Pelan Induk Pengangkutan (PIP) dan Lebuhraya Pan Island Link I (PIL I) dirangka kerajaan negeri.

Salma berkata, pihaknya bersama beberapa NGO lain akan terus membantah sebarang projek yang akan menjejaskan keseimbangan alam sekitar, jika kerajaan negeri tetap mahu meneruskan pelbagai rancangan pembinaan kontroversi di Pulau Pinang.

EXCO Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Pam Ooi turut membantah cadangan pembinaan dua hotel di puncak Bukit Bendera di sini, selain menegaskan tiada keperluan untuk kerajaan negeri menjalankan projek itu.

“Pulau Pinang sudah mempunyai banyak hotel sedia ada dan saya percaya ia tidak mencapai kadar penghunian maksimum sehingga perkhidmatan ini perlu disediakan di Bukit Bendera.

[FOTO DANIAL SAAD/BH]

Salma (tengah) bersama ahli beberapa NGO membuat demonstrasi di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, di Georgetown, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.