Hasrat ambil alih PPM, PHM dibatal

Berita Harian - - WILAYAH -

Seremban: Kerajaan negeri membatalkan hasrat mengambil alih Pusat Perubatan Mawar (PPM) dan Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) berikutan tawaran harga yang disifatkan tidak konsisten dan tidak munasabah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata Menteri Besar Diperbadankan (MBI) mengadakan rundingan pengambilalihan apabila pusat itu berhadapan masalah untuk meneruskan operasi.

“Bagaimanapun beberapa isu timbul ketika proses rundingan MBI bersama pengurusan pusat berkenaan termasuk berkaitan penetapan harga yang tidak munasabah, sehingga memaksa MBI membatalkan usaha berkenaan,” katanya kepada NSTP di sini, semalam.

NGO gesa ambil alih

Beliau mengulas mengenai gesaan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Nadi Rakyat Negeri Sembilan, supaya kerajaan negeri meneruskan hasrat pengambilalihan pusat perubatan itu demi demi kepentingan rakyat negeri ini.

Presidennya, Mohd Nazree Mohd Yunus, dilaporkan berkata usaha pengambilalihan itu juga dapat menjaga kebajikan pesakit dan petugas termasuk doktor di pusat perubatan itu.

Bulan lalu, Menteri Besar, Aminuddin Harun dilaporkan berkata MBI akan mengambil alih PPM dan PHM sebagai sebuah hospital rakyat milik penuh kerajaan negeri, yang bukan bermatlamatkan keuntungan semata-mata, sebaliknya membantu masyarakat.

Kementerian Kesihatan bagaimanapun mengarahkan pemberhentian operasi dan pengguguran perkhidmatan PPM berikutan peletakan jawatan hampir semua pakar perubatan di pusat berkenaan berkuat kuasa 1 November lalu. Bagaimanapun, PHM masih dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.