Kementerian, universiti lancar e-scroll bendung ijazah palsu

Berita Harian - - ISU -

Putrajaya: Kementerian Pendidikan dengan kerjasama konsortium universiti melancarkan Sistem Pengeluaran dan Pengesahan Universiti atau e-scroll menggunakan teknologi Blockchain bagi mengatasi masalah ijazah palsu.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Dr Siti Hamisah Tapsir, berkata tindakan mewujudkan e-scroll bertujuan memelihara dan menjaga kualiti pendidikan tinggi di Malaysia.

“Bilangan ijazah palsu meningkat kerana boleh diperoleh dengan mudah di Internet, maka sistem yang selamat dan mantap diperlukan untuk mengatasinya.

“Menyedari perlunya menjaga reputasi dan integriti universiti Malaysia, Kementerian Pendidikan mengambil tindakan proaktif untuk mencegah kes penipuan ijazah palsu dan pada masa sama, tidak merugikan penuntut yang benar-benar jujur dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan menjadi institusi pengajian tinggi pertama menggunakan sistem e-scroll pada istiadat konvokesyen hari ini.

“Penerima akan menerima ijazah menggunakan kod khas sistem berkenaan,” katanya.

Siti Hamisah berkata, idea membangunkan sistem itu dirumuskan Januari lalu oleh Majlis Dekan-dekan ICT (MADICT) universiti Malaysia.

Pengesahan sijil tulen

Susulan rumusan itu, katanya, MADICT dan Kementerian Pendidikan bercadang menggunakan teknologi Blockchain untuk meningkatkan kecekapan dalam mengesahkan sijil tulen.

“Ketika ini, universiti Malaysia menerima ribuan permintaan dari seluruh dunia untuk pengesahan status ketulenan graduan masing-masing.

“Pengesahan sedemikian masih dilakukan melalui telefon dan e-mel yang boleh menyumbang kepada ketidakcekapan,” katanya.

Menyedari pakar dalam teknologi itu boleh didapati di universiti, Siti Hamisah berkata, Kementerian Pendidikan mencadangkan pembentukan konsortium berkaitan teknologi Blockchain untuk mempelajari penggunaan dan mengembangkan sistem berkenaan.

Katanya, keanggotaan awal konsortium membabitkan enam universiti awam (UA) iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), UIAM, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknologi MARA (UITM).

“Objektif utama di sebalik pembentukan konsortium adalah menyebarkan latihan kemahiran dan perkembangan teknologi dalam kalangan penuntut universiti dan akademik.

“Dalam jangka panjang, konsortium harus menawarkan penyelesaian berasaskan Blokchain standard yang berpotensi menjana pendapatan kepada universiti terbabit,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.