Berita Harian

Dilema guru muda, kerenah pendidik senior

-

Pertemuan dengan pasangan guru, bekas anak didik saya yang pernah mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dulu menceritak­an dilema yang dihadapi mereka dalam berhadapan dengan guru senior di sekolah.

Pasangan guru muda ini mendakwa guru senior di sekolah mereka sentiasa cuba mengelak daripada membuat kerja dengan memberi pelbagai alasan termasuk sakit atau tidak sihat membuatkan pihak pentadbir mengenakan tekanan terhadap guru novis atau guru muda.

“Pentadbir sekolah sering pula menyerah tugas dan tanggungja­wab kepada guru muda kerana menurut mereka, kami masih muda, baharu dan bertenaga, selain mahu memberi peluang kami menimba lebih banyak pengalaman,” kata seorang daripada mereka.

Saya pernah berkongsi pengalaman sama dengan bekas pelajar mengenai alasan yang sering diberikan guru senior, kononnya ‘tiba masa untuk menyerahka­n tanggungja­wab yang selama ini dipikul mereka kepada guru muda.”

Alasan mereka sudah penat dan sudah terlalu lama membuat kerja rutin yang diarahkan pihak sekolah, menjadikan putaran hidup guru berkisar semula.

Malah, pasangan guru muda terbabit mendakwa nasib mereka tidak dibela mana-mana pihak, baik Pejabat Pendidikan Daerah sendiri mahupun sekolah sebagai pentadbir.

Malangnya, saya tidak bersetuju dengan rungutan pasangan terbabit apabila mereka mempertika­ikan mengenai gaji guru senior.

Mereka mendakwa pentadbir sentiasa memberi muka kepada guru senior yang kebanyakan­nya bergaji besar dan berpangkat tinggi, berbanding bebanan kerja diberikan kepada mereka yang tidak seberapa jika dibandingk­an dengan apa yang diperoleh guru muda.

Bagi saya, sewajarnya gaji guru senior lebih besar dan tinggi memandangk­an tempoh perkhidmat­an mereka yang sudah lama, selain ada yang sudah menghampir­i tempoh untuk berpencen.

Keadilan kongsi beban tugas

Bagaimanap­un, saya amat bersetuju dengan pasangan guru muda itu apabila mereka mendakwa guru muda sentiasa positif menerima kerja yang diberikan, tetapi mahukan keadilan dalam berkongsi bebanan tugas.

Kata mereka, biarpun masih muda dan mempunyai kudrat, mereka masih pada peringkat cuba mengadapta­si tekanan kerja dan kehidupan yang secara realitinya belum stabil, termasuk dari segi kewangan.

Nasihat saya kepada mereka, guru muda tidak boleh memberi alasan masalah kehidupan untuk mengelak kerja, manakala guru senior pula tidak boleh mencari alasan untuk tidak melaksanak­an tanggungja­wab dengan baik.

Saya percaya dan berharap agar guru generasi muda yang menjadi harapan negara mampu menempuh dan menghadapi tekanan kerja, selain masalah kemurungan yang boleh membawa kepada tekanan melampau dan sebagainya.

Bagi saya, suara guru muda juga perlu didengari dan berilah mereka sedikit rasa kasihan atau perikemanu­siaan, selain perlu ada sifat keadilan dalam menguruska­n organisasi.

Guru muda juga perlu diberi peluang dan masa untuk menghadapi profesion yang mulia lagi mencabar ini.

Bekas Pendidik Kuala Lumpur

 ?? [FOTO HIASAN] ?? Rungutan sebahagian guru perlu diambil kira bagi memastikan dapat melaksanak­an tugas dengan lebih baik.
[FOTO HIASAN] Rungutan sebahagian guru perlu diambil kira bagi memastikan dapat melaksanak­an tugas dengan lebih baik.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia