SINGAPURA DIDESAK TARIK BALIK PEKELILING PENGUATKUASAAN LAUT

Malaysia gesa Pekeliling Pelabuhan Marin ditarik balik

Berita Harian - - MUKA DEPAN - Oleh Azura Abas dan Zanariah Abd Mutalib

Malaysia menggesa Singapura segera menarik balik Pekeliling Pelabuhan Marin yang dikeluarkan republik itu pada 30 November lalu dan menghalang agensi penguatkuasaannya daripada menceroboh wilayah laut Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata Singapura juga perlu menghalang agensi penguatkuasaannya daripada mengganggu tugas mereka yang memang sah dari segi undang-undang Malaysia dan antarabangsa untuk berada di perairan Malaysia.

Katanya, tindakan dilakukan Singapura itu mencabuli kedaulatan Malaysia dan undang-undang antarabangsa.

Selain itu, beliau berkata, tindakan sedemikian tidak melambangkan semangat hubungan dua hala yang baik, sekali gus menyebabkan kekeliruan terhadap komuniti perkapalan antarabangsa dan membawa peningkatan risiko pelayaran serta keselamatan kepada semua pihak.

“Malaysia bersedia bekerjasama dengan Singapura menerusi saluran diplomatik ke arah mencari penyelesaian terbaik dalam hal ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tuntutan Tak tepat

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Singapura, kelmarin yang membantah keras cadangan Malaysia memperluaskan had pelabuhan di Johor dengan mendakwa ia menceroboh perairan republik itu.

Loke berkata, tuntutan Singapura tidak tepat kerana had pelabuhan diubah untuk Pelabuhan Johor Bahru tidak pernah menceroboh mana-mana bahagian Singapura.

“Malaysia mempunyai kedaulatan ke atas perairan dalam had pelabuhan untuk Pelabuhan Johor Bahru,” katanya.

Menurutnya, pada tahun kebelakangan ini, Singapura sudah melakukan penambakan tanah secara meluas di kawasan berkenaan.

“Mengikut undang-undang penambakan tanah tidak memanjangkan garis dasar negara. Selaras dengan undang-undang antarabangsa, wilayah laut Singapura tetap tidak berubah walaupun penambakan sudah dilakukan hampir ke luar sempadan laut wilayah Singapura.

“Oleh itu, had Pelabuhan Johor Bahru yang diubah adalah di dalam wilayah laut Malaysia dan adalah hak mutlak Malaysia untuk memperluaskan pelabuhan di wilayah lautnya berdasarkan undang-undang negara kita sendiri.

“Malaysia juga sudah mengambil tindakan bijak untuk mempercepatkan pengubahsuaian melalui Warta Kerajaan Persekutuan dan mengeluarkan Pekeliling Pelabuhan dan Pemberitahuan kepada Pelaut,” katanya.

Tak benar guna tatacara ILS

Sementara itu, Loke berkata, Malaysia mahu berbincang dengan Singapura berhubung alternatif dan cadangan balas susulan penyiaran tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) Lapangan Terbang Seletar tanpa kebenaran Malaysia oleh republik itu.

Katanya, Malaysia berpendirian tegas tidak membenarkan penggunaan tatacara ILS lapangan terbang itu yang akan melalui ruang udara Pasir Gudang, Johor.

“Kita ada alternatif dan cadangan balas mengenainya, namun apa sahaja pendekatan diambil ke arah atau melalui Pasir Gudang, kita tidak boleh bersetuju,” katanya selepas mempengerusikan Majlis Perundingan Penerbangan Na- sional yang pertama di sini, semalam.

Kelmarin, Loke berkata, Kementerian Luar akan menghantar nota bantahan kepada kerajaan Singapura susulan penyiaran tatacara ILS Lapangan Terbang Seletar tanpa kebenaran pada 1 Disember lalu, yang akan berkuat kuasa sepenuhnya pada 3 Januari depan.

Beliau berkata, ketetapan kerajaan itu sudah dimaklumkan kepada Singapura pada 28 dan 29 November lalu bagi menjamin kedaulatan ruang udara negara, sekali gus memastikan pembangunan sekitar Pasir Gudang tidak tergugat.

Berhubung kenyataan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan yang menyifatkan pengurusan ruang udara ‘tiada kenamengena dengan kedaulatan’ selepas Malaysia menyatakan hasrat mahu menuntut semula hak mengendalikan ruang udara selatan Johor, Loke berkata, isu kedaulatan yang dibangkitkan beliau adalah berkaitan dengan penggunaan ILS melalui ruang udara Johor.

Anthony Loke

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.