HISHAMMUDDIN PERJELAS MKN LULUS OPS YAMAN 2

Negara tak terbabit aktiviti ketenteraan, hanya operasi menyelamat pelajar

Berita Harian - - MUKA DEPAN -

Ops Yaman 2 yang didakwa tidak mendapat kelulusan Kabinet pentadbiran terdahulu, diketuai dan diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pihak yang membuat pendedahan mengenai Ops Yaman 2 perlu memahami fungsi MKN untuk mengetahui pembabitan sebenar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Arab Saudi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku ketika membuat pendedahan terbabit.

“Dia lupa apa itu MKN. Dia kata (Ops Yaman 2) tidak dibawa ke Kabinet, dia sepatutnya tanya kepada perisik luar kita, tanya kepada MKN, tanya mereka apa sebenarnya yang kita lakukan.

Babit keselamatan negara

“Ini semua membabitkan rahsia negara. Saya profesional (tidak mahu dedahkan) tetapi kalau dia betul-betul mahu tahu, gunakan agensi di bawah mereka sekarang untuk mengetahui isu sebenar.

“Bagaimanapun, semua maklumat itu mesti diubah status kerahsiaannya kerana ia membabitkan kepentingan keselamatan negara.

“Buatlah siasatan, ambil tindakan daripada membuat dakwaan, saya tidak takut apa-apa, tetapi siasat dengan pihak yang terbabit,” katanya kepada media di lobi Parlimen, semalam.

Isnin lalu, Chin Tong memberitahu Dewan Rakyat, pembabitan ATM dalam Ops Yaman 2 pada 2015 yang dilaksanakan ketika Hishammuddin menerajui Kementerian Pertahanan, tidak mendapat kelulusan Kabinet.

Susulan pendedahan itu, Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah, berkata tangan Malaysia turut ‘dibasahi darah rakyat Yaman’ yang terkorban kerana peluru dan letupan dibawa ATM.

Chin Tong dilaporkan berkata, penugasan ATM menerusi Ops Yaman 2 bertujuan membantu urusan logistik penerbangan bagi membawa peralatan alat ganti peluru dan bahan letupan milik pakatan Arab dalam wilayah Arab Saudi.

Menyelamat pelajar

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, tentera Malaysia tidak terbabit dalam aktiviti ketenteraan, sebaliknya untuk operasi menyelamatkan pelajar Malaysia di Yaman.

“Tentera kita tidak ada pun di Yaman. Bila ada yang kata darah terpalit pada tangan saya, dia tidak cerita pula ‘darah’ 763 pelajar yang kita selamatkan di Yaman apabila mereka dibawa keluar ketika pertempuran itu.

“Sekarang ini, kerajaan sudah tarik balik anggota kita. Kalau sesuatu berlaku di sana, suruhlah Chin Tong dengan Raja Kamarul Bahrin Shah ke Yaman selamatkan rakyat kita yang masih di sana,” katanya.

Bangkit isu di Parlimen

Sementara itu, Chin Tong, mencabar Hishammuddin untuk membangkitkan isu Ops Yaman 2 itu, di Dewan Rakyat, hari ini.

“Beritahu dia (Hishammuddin) untuk bercakap di Dewan Rakyat esok (hari ini). Saya akan jawab beliau di Parlimen,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Chin Tong berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Hishammuddin yang mendakwa operasi itu diketuai dan mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), serta sudah dijawab beberapa kali di Dewan Rakyat sebelum ini.

Timbalan Menteri Pertahanan itu menegaskan, Ops Yaman 2 perlu mendapat kelulusan Kabinet kerana tidak selari dengan kerangka dasar luar negara yang menegaskan Malaysia sebagai negara berkecuali.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.