AZIZ BARI DIPANGGIL SPRM ISU GULING MB PERAK

Agensi akui terima laporan daripada awam isu fitnah jatuhkan MB Perak

Berita Harian - - MUKA DEPAN - Oleh Mohd Husni Mohd Noor dan Muhammad Apendy Issahak

EXCO kerajaan Perak, Dr Abdul Aziz Bari dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah untuk menjatuhkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sumber berkata, Abdul Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains, Alam Sekitar dan Penerangan Perak diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM Perak untuk dirakam keterangan berhubung dakwaan berkenaan.

“SPRM akui menerima laporan daripada awam mengenai isu bagi menjatuhkan Menteri Besar Perak.

“Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka dan SPRM memulakan siasatan dengan mengambil keterangan daripada Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi semalam, mengesahkan perkara itu.

Pada sesi penggulungan perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14, kelmarin, Ketua Pembangkang DUN Perak, Datuk Saarani Mohamad mendakwa Naib Pengerusi DAP Perak itu ada bertemu dengan lima ADUN UMNO bagi menarik empat lagi sokongan untuk menjatuhkan Ahmad Faizal.

Saarani mendakwa, pertemuan itu dilakukan di beberapa lokasi di dalam dan luar negeri itu antara 2 November hingga 1 Disember lalu, selain turut mengakui mempunyai semua akuan bersumpah mengenainya.

Sementara itu, di Abdul Aziz mengesahkan beliau memberi keterangan selama dua jam kepada SPRM di sini, semalam.

“Saya mengesahkan sudah berjumpa SPRM dan memberi keterangan selama dua jam mengenai isu fitnah menjatuhkan Menteri Besar Perak.

“Kerjasama sepenuhnya diberikan kepada pihak SPRM,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Pengarah SPRM Perak, Datuk

Ipoh,

Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan pihaknya memanggil Abdul Aziz untuk membantu siasatan berhubung isu berkenaan.

Dipanggil semula jika perlu

“Abdul Aziz sudah diambil keterangan hari ini (semalam) dan beliau akan dipanggil semula jika perlu,” katanya.

Ketika menggulung perbahasan Belanjawan Perak 2019 di sidang DUN Perak kelmarin, Saarani mendedahkan Abdul Aziz adalah individu yang berjumpa ADUN UMNO berkenaan. EXCO Perak

Bagaimanapun, Abdul Aziz menafikan dakwaan beliau dalang dalam perkara itu dan menyifatkan tuduhan Saarani sebagai cerita kartun.

Ahmad Faizal pula mengesahkan pendedahan wujudnya cubaan menjatuhkan kerajaan negeri dan dirinya itu akan dibawa dan dibincangkan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Sepanjang sidang DUN yang bermula 27 November lalu dan berakhir semalam, tiada usul undi tidak percaya dibawa oleh manamana ADUN atau EXCO bagi menyingkirkan Ahmad Faizal.

[FOTO MUHAIZAN YAHYA/BH]

NSTP Saarani menunjukkan dokumen akuan bersumpah lima ADUN UMNO pada sidang media di Ipoh, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.