Usaha tarik penyertaan negara OIC

Beri manfaat besar kepada umat Islam seluruh dunia

Berita Harian - - PERSIDANGAN -

Forum Zakat Dunia (WZF) berusaha menarik penyertaan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menjadi anggota badan pergerakan zakat dunia itu bagi memperkukuhkan kedudukan dan peranannya pada masa depan.

Setiausaha Agung WZF, Prof Dr Bambang Sudibyo, berkata penyertaan negara anggota OIC dapat memberi manfaat yang cukup besar bukan sahaja dalam pengurusan zakat, malah terhadap kedudukan Islam dan ummah di seluruh dunia.

Selain itu, beliau berkata, WZF juga bercadang membuka keanggotaan bersekutu bagi beberapa organisasi penting dunia seperti Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Program Pembangunan PBB dan Bank Pembangunan Islam.

“Sekarang, kita mempunyai 23 negara anggota, antaranya dari Indonesia, Malaysia, Qatar, Kuwait, Turki, England, Bahrain, Jordan, Sudan dan Arab Saudi.

“Namun, jumlah negara anggota ini dijangka bertambah kepada 28 dengan lima lagi negara dari Afrika Barat dan Asia Tengah dijangka menyertai WZF sebaik penganjuran forum ini berakhir,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Antarabangsa WZF 2018, di sini, semalam.

Majlis perasmian itu disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari. Forum itu berlangsung selama tiga hari bermula semalam dan disertai hampir 300 peserta dari 25 negara bagi membincangkan isu pengurusan zakat yang memberi manfaat kepada umat Islam di seluruh dunia.

Mengulas lanjut, Bambang berkata, WZF berhasrat memastikan badan pergerakan zakat dunia itu berupaya menjadi instrumen terbaik untuk meningkatkan kekuatan umat Islam menerusi pengurusan zakat yang efisien selaras dengan perkembangan semasa dunia.

Beliau berkata, forum kali ketujuh itu memberi fokus pada kekuatan perbadanan zakat global menerusi pertukaran idea dan jalinan kerjasama berhubung amalan terbaik pengurusan zakat antara lembaga zakat dari pelbagai negara.

Melaka sentiasa beri sokongan

Sementara itu, Adly berkata, Kerajaan Negeri Melaka sentiasa menyokong inisiatif global terutama yang dilaksanakan WZF untuk memastikan pembangunan zakat khususnya dalam kalangan negara Islam dapat diperkukuhkan.

Katanya, pada peringkat kerajaan negeri Melaka juga, pelbagai inisiatif dan penambahbaikan dilaksanakan bagi memastikan sistem pengurusan zakat dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa, termasuk menjenamakan semula Zakat Melaka kepada sebuah perbadanan zakat.

“Penilaian secara menyeluruh sedang dilakukan dan kita menjangkakan sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan pada Januari tahun hadapan sebelum keputusan dicapai,” katanya.

Bambang Sudibyo

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.